Sunday 18 December 2011

KEGUGURAN DAN BERPANTANG

Keguguran adalah di anggap lebih serius daripada kelahiran. Keguguran umpama buah yang gugur sebelum masak dan di percayai akan membawa kesan yang kurang menyenangkan iaitu di katakan mudah di serang angin gugur dan juga angin jahat.


Angin gugur ~ angin yang menyerang selepas keguguran mengakibatkan ibu mudah terdedah kepada alahan makanan dan persekitaran.


Bisa gugur ~ rasa sakit dan tajam berdenyut-denyut di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.


Angin gugur yang menjadi pembawa bisa keguguran akan sentiasa termendap di dalam urat saraf sehinggalah ibu tersebut hamil semula dan melahirkan barulah ia dapat kembali sembuh. Penyakit angin gugur ini tidak dapat diubati walaupun dengan kaedah moden seperti kaedah pembersihan rahim atau D&C.


Keadaan akan manjadi lebih buruk sekiranya tidak merawat diri dan cebisan darah lendir dari janin serta sisa uri yang tertinggal dalam rahim. Ibu keguguran seperti ini akan menghadapi masalah angin toksik yang boleh menyebabkan masalah keracunan darah akibat infeksi di bahagian peranakan. Ia dapat di elakkan sekiranya rawatan penyucian atau pembesihan rahim di lakukan dengan teliti dan sempurna.


Keguguran tanpa penjagaan yang rapi juga boleh mengundang masalah angin merian yang berpunca dari keracunan darah. Apabila bahagian rahim tidak di bersihkan dengan rapi, toksin akan meresap ke seluruh bahagian sistem badan. Seringkali terjadi ibu mengalami demam panas sehingga terkancing gigi apabila tidak berpantang makanan apabila berlakunya keguguran.


Mengikut petua Melayu, penjagaan berpantang ibu bersalin lebih mudah berbanding penjagaan ibu yang keguguran. Ibu dalam pantang bersalin dikehendaki sentiasa memanaskan badan dalam peraturan makanan dan rawatan. Berlainan halnya dengan ibu yang keguguran kerana mereka tidak boleh di rawat dengan kaedah panas atau sejuk dari segi perubatan dan pemakanan. Oleh sebab itu, bukan mudah menjaga ibu yang keguguran. Tambahan pula bagi yang tidak berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal perawatannya.


Kebanyakan wanita hari ini mengambil ringan tentang kejadian keguguran. Ini terjadi kerana ramai yang jahil tentang betapa pentingnya penjagaan diri selepas keguguran, manakala ilmu yang berkaitan tidak di sebarkan secara meluas akibat terpengaruh dengan mentaliti perubatan moden. Walaupun kita menghormati ilmu dan sistem perubatan moden, kita percaya mereka belum cukup mendalami dan memahami hukum alam badan dan kesihatan manusia yang berkait rapat dengan rahsia alam semulajadi.


Tempoh Pantang Keguguran

Mengikut petua Melayu, terdapat pelbagai pantang larang ibu keguguran dari segi pemakanan dan cara hidup seharian. Berpantang ibu bersalin ditamatkanmengikut jangkamasa keguguran selepas dua minggu hingga tiga bulan kehamilan, ibu pantang berjimak selama 30 hari. Ini adalah kerana angin gugur telah sedia ada untuk menyerang atas kesilapan pantang larang.

Jikalau keguguran berlaku pada usia kehamilan 4-5 bulan, ibu harus pantang berjimak selama 40 hari. Jikalau keguguran berlaku lebih daripada enam bulan, ibu pantang berjimak selama 44 hari. namun, untuk lebih berkesan pantang larang pemakanan akan tamat apabila ibu kembali hamil dan bersalin.

Pantang Larang Keguguran

Masyarakat Melayu tradisional mengenakan pelbagai pantang larang kepada wanita yang keguguran. Dipercayai jika wanita yang keguguranlalu atau berjalan di bawah penyidai kain akan mendapat sakit kepala. Jika terkena titisan hujan atau hujan panas serta terkena angin senjaatau tengah malam beliau mudah dihidapi demam panas atau demam menggigil.

Bagaimanapun, pantang larang yang terutama ialah tidak boleh melintas di bawah pohon cermai atau memakan buah cermai kerana ia dipercayai boleh mencetuskan bentan atau kesan tegang urat sehingga membawa kepada demam menggigil.

Dari segi pemakanan, ibu keguguran mesti mengelakkan makanan berangin seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung. Selain itu, dipantangkan juga makanan yang sejuk serta menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun dan buah-buahan yang sejuk seperti ciku, betik, langsat, duku, kacang, kuini, nangka, cenpedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu. Turut ditegah menganmbilnya ialah ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardin, pari dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang, belacan, budu, cencaluk dan ikan masin.

Walaupun, petua pantang larang ini kelihatannya seperti tidak logik atau kejam, telahpun terbukti terjadinya alahan bagi ibu yang melanggarnya seperti bentan urat, demam yang susah turun , rambut gugur, mudah kayu, pekang, alahan kulit dan cuaca, serta mudah letih.

Jenis-Jenis Keguguran

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, ada pelbagai jenis keguguran yang dapat dikesan dan dikenali. Antaranya disenaraikan seperti yang berikut ini.

Gugur Ugut

Gugur ugut (threatened arbotion) atau dikenali sebagai gugur terancam, sering berlaku pada rahim yang lemah, seperti pintu rahim yang mudah terbuka apabila kehamilan berlaku dan kedudukan yang tidak mantap di dinding rahim keguguran jenisini juga berpunca daripada ketidakseimbangan suhu badan, kelemahan darah, muntah yang kronik sehingga memberi tekanan di bahan ari-ari atau ibu terjatuh dalam posisi yang boleh menyebabkan gugur ugut.

Gugur berlaku dengan keluaran tompokan darah pekat berwarna merah coklat, tanpa rasa sakit. Darah sering keluar setaip kali ibu bergerak. Petua Melayu mengesyorkan ibu hamil mengamalkan air bunga tanjung (lotus) atau herba hiya (artemisia bulgaris) sebagai membantu menghentikan berlakunya gugur ugut. Lazimnya, ibu yang kerap mengalami  gugur pada setiap kehamilan disyorkan mengambil air rebusan bunga tanjung sebagai amalan harian untuk memantapkan kedudukan janin dan mencegah berlakunya gugur ugut.

Gugur Bentan

Jikalau gugur berlaku pada kehamilan tiga bulan ke atas, ia dikenali sebagai gugur bentan (inevitable abortion). Keguguran ini akan mengakibatkan tumpah darah. Ibu hamil akan terasa sakit seperti kontraksi di bahagian rahim atau ari-ari sehingga ke cawan muka di bahagian pinggul. Kesakitan ini seakan sakit senggugut yang serius atau sakit bersalin. Kesakitan ini adalah kerana janin telah membentuk dan mengeras serta di salurkan dengan urat saraf ibu. Tumpah darah yang di ikuti dengan kesakitan ini boleh menyebabkan ibu menjadi lemah sehingga gelap mata atau pengsan. Mengikut ilmu perbidanan melayu, gugur bentan ini berpunca daripada rahim yang kedudukannya telah lari termasuk ke bawah tulang kajang. Rahim tidak dapat membesar bersama janin. Apabila janin semakin membesar, rahim yang tidak dapat menimbul akan tertekan oleh tulang kajang dan gugur bentan akan berlaku. Perkara tersebut lazimnya berlaku kepada ibu yang biasa jatuh terhempap kuat di bahagian punggung, yang mungkin menyebabkan kecacatan posisi rahim.

Ada juga kejadian gugur gara-gara ibu yang ingin menjarakkan kehamilannya melalui urutan yang tersalah cara. Akibat mulut rahim terkalih dari posisi yang bertentangan dengan pintu faraj, sehingga berlakunya posisi yang songsang atau rahim terbenam di dalam salur bawah tulang belakang.

Gugur Sangkut

Dalam gugur sangkut atau gugur tak sepenuhnya (incomplete abortion) tumpah darah yang banyak akan berlaku berlarutan sehingga beberapa hari. Keadaan ini menandakan masih ada baki tisu janin atau tisu uri yang tertinggal di dalam rahim. Rahim akan membengkak dan mulutnya terbuka luas. Keadaan ibu akan kelihatan pucat dan lemah, bahagian ari-ari atau rahimnya tidak boleh di sentuh walau dengan cara lembut kerana terlalu sakit.

Jika di biarkan, lama kelamaan ibu tidak boleh berjalan lurus kerana terlalu sakit di bahagian tersebut dan sentiasa berbongkok menahan sakit. Adakalnya jika rumah berlantaikan papan, kesan tapak kaki berjalan pun akan mencetuskan jeritan kesakitan daripada ibu tersebut.

Gugur Sawan Atau Gugur Keracunan

Gugur sawan (septic abortion) berlaku apabila ibu hamil mengeluarkan darah berbau busuk dan mengandungi nanah, yang mana rahimnya di katakan mengalami keracunan. Keadaan rahim akan membengkak dan mengeras menyebabkan ibu mengalami demam panas yang serius. Demam tersebut boleh membuatkan ibu menggigil sehingga terkancing gigi dan mata berpusar seperti keadaan penyakit tarik.

Gugur Bangkai Atau Kecacatan Kehamilan

Mengikut ilmu perbidanan melayu, kandungan yang tidak membesar serta janin tidak bernadi menandakan kecacatan kehamilan. Tetapi janin yang mati itu di saluti dengan pendarahan dalaman rahim yang merupakan sebentuk gumpalan isi serta darah.

Keguguran ini berlaku apabila terdapat keluaran ketulan darah beku berwarna merah tua, disusuli dengan cebisan-cebisan isi. Kejadian ini di kenali sebagai gugur bangkai (missabortion). Ibu yang mengalami keadaan ini akan sentiasa pening atau sakit kepala dan loya yang serius.

Gugur Badai Atau Gugur Berulang

Mengikut tafsiran perbidanan melayu, wanita yang sering mengalami keguguran atau gugur berulang kali, di kenali sebagai gugur badai (recurrent abortion). Wanita tersebut dikatakan mengalami kelemahan rahim, terutama di bahagian leher dan mulut rahim, yang mana anggota itu tidak dapat memegang atau memikul kehamilan dengan kuat.

Setiap kali pergerakan kuat berlaku atau mengalami keletihan yang amat sangat, ibu menghadapi risiko keguguran. Akibat kerap gugur, ibu hamil itu walaupun diberi sepenuh rehat tanpa banyak pergerakan termasuk berjimak, keguguran masih juga boleh berlaku. Mengikut kefahan lama, ibu ini bermasalah penyakit deria rangsang wanita, iaitu ketidakseimbangan hormon. Penyakit deria rangsang wanita ini dapat menyebabkan pelbagai masalah, satu daripadanya gugur badai.

Gugur Paksa

Gugur paksa atau mengeluarkan janin dengan cara paksa dari rahim telah lama dipraktikkan oleh masyrakat berbilang bangsa. Perkara yang terkutuk, becanggah dengan prinsip kemanusiaan dan diharamkan oleh agama ini masih berleluasa dilakukan dengan pelbagai kaedah, asalkan pengguguran itu berjaya.

Gugur paksa merupakan perkara yang amat sensitif dalam kalangan masyarakat. Perbuatan hina ini bukan topik yang di bualkan secara terbuka, terutama pada zaman dahulu. Sebaliknya kebanyakan keguguran semulajadi yang berlaku diterima sebagai suratan takdir.

Gugur paksa pula amat dirahsiakan kerana masyarakat Melayu tidak menerimanya walaupun dilakukan dengan tujuan untuk membantu mangsa rogol atau wanita yang dianiaya. Jikalau gugur paksa diketahui ramai, mangsa rogol itu akan dihina masyarakat dan menjadi buah mulut.

Berpantang Sepanjang Masa

Penyakit atau masalah keguguran akan hilang atau sembuh selepas berlakunya kehamilan kembali. Namun, bagi mereka yang keguguran dan tidak hamil lagi, mereka perlu mengawasi pemakanan dengan menjauhi benda-benda yang dilarang sampai bila-bila.

Ini kerana apabila di makan, walau seikit pun, mereka akan mendapat kesan sampingan yang akan melemahkan tubuh atau mengakibatkan penyakit bisa otot dan sendi. Apalagi kalau dimakan secara berlebihan, akan menjadi punca penyakit angin pasang atau barah angin. Sebagai mengatasi penyakit akibat keguguran, rawatan dan pemakanan secara tradisional ,esti di amalkan. InsyaALLAH meraka yang mengalaminya akan kembali pulih ataupun sekurang-kurangnya kesan penyakit tersebut dapat dikurangkan.










No comments:

Post a Comment