5 Syarat Nak Buat Maksiat
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong
berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim
berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya,
maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar
bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat
kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan
kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang
ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu
sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu
selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua,"
kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat
ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata
kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan
rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala
larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian
menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu
bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat
oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim,
ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya,
kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan
maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang
keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang
hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu.
Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki
itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana
mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai
Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan
mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari
kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim
pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak
mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut
bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku
menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.
Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah."
katanya sambil terisak-isak. —
No comments:
Post a Comment