Hukum Cerai Isteri Ketika marah
1001 Kemusykilan Oleh Dr. Abdul Hayei Bin Abdul Sukor
(Akademik Pengajian Islam)
SOALAN: Saya seorang isteri berumur 38 tahun mempunyai lima orang anak.
Suami saya seorang lelaki yang panas baran. Kami selalu bergaduh dan
bercerai beberapa kali. Saya ingin bertanya:
Jatuhkah talak bila suami saya berkata, kalau engkau hendak, aku cerai. Saya jawab, teruskan, memang itu yang saya tunggu-tunggu.
Jatuhkah talak bila suami menceraikan saya ketika dia marah, kemudian
setelah reda suami saya menyesal atas perkataan cerai yang
dilafazkannya, lalu dia menarik balik perkataan itu.
Untuk makluman
tuan, kami sudah tiga kali bercerai dan ini adalah yang ketiga. Ada
orang menasihatkan, kami tidak boleh lagi kembali tinggal bersama
sebagai suami isteri, kecuali dengan bercina buta. Harap ustaz berikan
nasihat. - TIJAH, Batu Caves, Kuala Lumpur.
JAWAPAN: Perkahwinan
pada dasarnya adalah perkongsian hidup antara seorang lelaki dan
perempuan untuk merentasi suatu jarak perjalanan yang jauh. Biasanya
sesebuah perkahwinan yang bahagia, diikat dengan kemesraan, kasih sayang
dan tanggungjawab untuk melayari hidup bersama anak-anak, keluarga
dalam suasana yang penuh riang dan bahagia.
Kadang-kadang kenderaan
yang dipandu bagi menuju suatu destinasi itu tiba-tiba terhenti dalam
perjalanan, disebabkan bekalan minyak yang tidak mencukupi atau seutas
wayar kecilnya tidak bersambung. Suami sebagai pemandu kenderaan tidak
harus membuang masa dengan gangguan kecil itu, isikan minyak jika
kehabisan, sambungkan semula wayar yang terputus, kemudian teruskan
perjalanan.
Al-Quran membayangkan uniknya ikatan perkahwinan
menerusi firman-Nya yang bermaksud: Isteri kamu pakaian kamu, kamu pula
pakaian mereka. - al-Baqarah: 187. Ungkapan ini tersembunyi di sebalik
hubungan yang sangat rapat dan mesra antara suami isteri, iaitu bagaikan
pakaian yang melekat pada badan, mengawal pemakainya daripada terdedah
kepada bahaya sejuk dan panas, bahkan sekali gus menjadi hiasan antara
satu sama lain.
Puan yang telah menjalani usia perkahwinan yang agak
lama, sehingga dikurniakan lima orang anak, sepatutnya berpengalaman
dengan rakan kongsi atau suami puan tidak mudah melatah dengan
tindakannya yang cepat marah. Carilah jalan, bagi memulihkan suasana
kedamaian bersama suami, anak dan keluarga. Memang cuaca tidak selalunya
cerah. Tetapi hari tidak selama-lamanya mendung.
Kepada suami puan
pula saya nasihatkan agar memahami tabiat isteri, dia adalah wanita yang
pernah dinyatakan dalam sabda nabi: Wanita bagaikan tulang rusuk yang
bengkok. Tulang ini mudah patah jika dipaksa untuk dibetulkan. Jika
dibiarkan, nescaya terus dalam keadaannya yang bengkok. Maksudnya wanita
mempunyai tabiatnya sendiri, seperti juga lelaki.
Saya amat simpati
terhadap rumah tangga puan yang sering dilanda krisis, sehingga
pergaduhan demi pergaduhan berlaku dan beberapa kali pula perceraian
berlaku. Sepatutnya sekali bercerai sudah cukup sebagai pengajaran bagi
kedua-dua pihak. Kasihanilah anak-anak yang masih kecil, mereka
dahagakan kasih sayang dan perlindungan ibu dan bapa mereka secukupnya.
Puan sudah bercerai sebanyak tiga kali, kini dinasihatkan supaya
bercina buta jika berhasrat untuk kembali semula menjadi isteri yang
sah. Saya berpendapat, jalan ini bukan penyelesaian yang diharuskan oleh
Islam. Jalan itu salah dan haram dilakukan. Dalam sebuah hadis
menyatakan, Nabi s.a.w bersabda: Allah melaknat lelaki yang melakukan
cina buta dan yang menyuruh orang supaya bercina buta baginya.
Dalam
sebuah hadis yang lain pula, baginda menyamakan lelaki itu dengan bapa
kambing pinjaman atau dalam bahasa Arabnya disebut al-tays al-musta'ar.
Maksudnya suami daripada perkahwinan cina buta bukan suami yang sah dan
harus di sisi Islam. Kerana niat hanya untuk menghalalkan semula kepada
suami pertama.
Pengharaman cina buta ini disepakati ulama seperti
Umar, Ali, Uthman, Ibn Abbas dan lain-lain. Menurut Ibn Abbas: Lelaki
dan wanita berkenaan dianggap berzina, sekalipun mereka tinggal bersama
selama 20 tahun kerana niat mereka untuk menghalalkan semula pernikahan
kepada suami pertama, setelah bercerai sebanyak tiga kali.
Menjawab
soalan kedua, sama ada gugur atau tidak talak yang dilafazkan dengan
perkataan: Jika engkau hendak, aku ceraikan. Jawab isterinya: Memang itu
yang aku tunggu-tunggu. Saya berpendapat, suami belum melafazkan lagi
perkataan cerai dan tidak pula menyerah kepada isterinya kuasa
menceraikan dirinya. Setakat ini, suami hanya menyatakan kesediaannya
memberi cerai jika isterinya mahu, tetapi belum menjadi kenyataan lagi,
sekalipun puan sedang menunggu.
Saya tidak mendapat maklumat yang
jelas, bagaimana berlakunya perceraian puan sebelum ini. Sejauh yang
dimaklumkan, suami puan seorang yang panas baran. Jika perceraian
sebanyak tiga kali berlaku dalam suasana biasa, maka tidak diragui lagi
tentang gugurnya talak dan puan tidak boleh lagi kembali menjadi
isterinya yang sah, kecuali setelah puan berkahwin lelaki yang lain,
kemudian bercerai melalui proses biasa, bukan cara bercina buta seperti
yang disebutkan terdahulu.
Jika perceraian itu berlaku ketika suami
puan dalam keadaan sangat marah, maka perceraian dalam suasana itu ada
beberapa pandangan ulama, tentang sama ada gugur atau tidak talak. Ulama
membincangkan perkara ini secara terperinci dan ada beberapa titik
perbezaan pendapat yang perlu dihalusi.
Kita ikuti apa kata Ibn
al-Qayyim tentang perceraian yang berlaku ketika suami sedang marah.
Menurut beliau, marah ada tiga keadaan yang berbeza dan turut berbeza
pada hukum bercerai ketika itu.
Pertama: Marah yang dapat dikawal
perasaan dan fikiran sepenuhnya. Talak yang dilafazkan pada ketika ini
dihukum jatuh dan tidak ada sebarang keraguan padanya lagi. Lebih-lebih
lagi, jika talak itu dilafazkan setelah dia berfikir dengan matang dan
membuat perkiraan daripada segala aspek, sekalipun pada ketika itu
perasaan marahnya belum betul-betul reda.
Kedua: Marah yang sampai
tahap seolah-olah hilang akal, kira-kira ia tidak lagi sedar apa yang
diucapkan pada ketika itu. Talak yang dilafazkan pada ketika ini,
disepakati ulama sebagai tidak gugur, kerana ia disamakan dengan orang
gila yang hilang akal dan tidak lagi memikul beban taklif. Sehubungan
orang gila, Nabi s.a.w. bersabda: Taklif diangkat daripada tiga
kumpulan: Orang tidur sehingga jaga. Kanak-kanak sehingga usia baligh
dan orang gila sehingga siuman.
Ketiga: Marah yang berada pada tahap
antara tahap yang pertama dan kedua, marah pada tahap ini
diperselisihkan ulama pada hukumnya. Bahagian ini perlu dilihat daripada
aspek dalil serta mempertimbangkan suasana perceraian itu berlaku.
Muslihat dan kepentingan anak-anak yang masih kecil juga seharusnya
diambil kira.
Sebahagian ulama berpendapat gugur talak yang
dilafazkan ketika suami yang sedang marah, kerana perasaan marah masih
boleh dikawal oleh seseorang, malah orang marah tidak termasuk dalam
senarai orang yang terkeluar daripada beban taklif.
Ada pun hadis
Aishah yang membawa maksud: Tidak jatuh talak ketika ighlaq. Hadis ini
dihukum daif kerana ada seorang rawi yang daif dalam sanadnya iaitu
Muhammad Ibn Ubayd. Dengan itu, hadis tersebut tidak lagi berfungsi
sebagai dalil yang menunjukkan tidak gugur talak yang dilafazkan oleh
suami ketika dia sedang marah.
Sekumpulan ulama lain pula berpendapat, tidak gugur talak, berdasarkan dalil-dalik berikut:
1. Hadis riwayat Aisyah r.a. yang disebut terdahulu dan membawa maksud:
Tidak gugur talak dan sah memerdekakan hamba ketika ighlaq (marah).
Hadis ini diriwayat oleh Ahmad 6/276, Abu Dawud, bilangan 2/193, Ibn
Majah, bilangan 2/046 al-Hakim 2/198 dan lain-lain. Maksud ighlaq ialah
terpaksa atau terkunci fikiran hingga hilang waras. Ahmad dan Abu Dawud
menafsirkannya dengan marah. Ini menunjukkan talak pada ketika marah
tidak gugur, kerana gangguan itu menghilangkan kewarasan fikiran.
Hadis ini walaupun dihukum daif oleh kumpulan pertama, atas alasan
Muhammad Ibn Ubayd yang lemah, namun kelemahannya tidak disepakati.
Ramai lagi ulama yang menganggapnya sebagai sahih dan tiada cacat
seperti Ahmad dan Ibn Ma'in. Mereka menerima hadis ini dan mengambil
keputusan hukum, sebagai tidak gugur talak suami dalam keadaannya yang
sedang marah.
2. Dalam al-Quran menyebutkan ayat yang bermaksud:
Allah tidak mengira salah kamu bersumpah tentang sumpah-sumpah kamu yang
tidak dimaksudkan untuk bersumpah, tetapi ia mengira kamu bersalah dan
mengenakan hukuman dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu.
- al-Baqarah: 225. Ayat ini membezakan di antara sumpah yang sengaja
dan tidak disengajai. Para ulama mengatakan talak sama hukumnya dengan
sumpah. Jika dilafazkan dengan sengaja, nescaya gugur, sebaliknya jika
tidak sengaja, nescaya tidak gugur.
3. Marah adalah suatu keadaan
yang tidak waras, oleh tu keputusan yang dibuat ketika marah juga tidak
melibatkan hukum. Dalam sebuah hadis yang membicarakan hakim yang
menjatuh hukum ketika sedang marah, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Hakim hendaknya tidak menjatuhi hukuman ketika ia sedang marah.
Saya
berpendapat, jika hakim dilarang membuat keputusan hukum ketika sedang
marah, maka suami lebih patut lagi dilarang menceraikan isterinya pada
ketika yang sama, kerana anak-anak nanti akan menjadi mangsa perceraian
akibat bapa yang menghidap penyakit mental yang gagal mengawal perasaan.
Saya lebih cenderung kepada pendapat ulama yang menyatakan tidak jatuh
talak ketika suami sangat marah atau ketika ia tidak dapat mengawal
perasaan marahnya, kerana marah adalah suatu penyakit yang di luar
pilihan seseorang. Kedudukannya bagaikan orang yang diserang penyakit
gila yang tiada pilihan.
Namun marah yang dimaksudkan itu ialah yang
terkeluar daripada tahap sederhana serta ada tanda-tanda menunjukkan ia
tidak sengaja menceraikan isterinya seperti dia menyesal
sungguh-sungguh atas perbuatan itu.
No comments:
Post a Comment