Friday, 19 August 2011

Lailatul Qadar

Lailatul Qadar adalah satu malam yang amat istimewa. Pada malam tersebut Allah s.w.t. telah menurunkan al-Qur'an dan para malaikat membawa ketetapan Qadha' dan Qadar untuk setahun berikutnya. Selain itu malam tersebut adalah lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Keistimewaan ini sedia diterangkan dalam al-Qur'an, dalam sebuah surah yang juga dinamakan al-Qadar: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar? Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" [Surah al-Qadar, ayat 1-5]

Bilakah Lailatul Qadar? Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan." [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2017]

No comments:

Post a Comment