Friday, 19 August 2011

Si Mati Telah Kirim Dosa, Pahalanya Ke Akhirat

Antara kewajiban dalam adab bersahabat ialah mendoakan rakan kawannya, semasa dia hidup di dunia dan selepas kematiannya. Doa perkara yang disukai untuk diri dan ahli keluarganya, serta setiap orang yang ada hubungan dengannya seperti doa untuk diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila seseorang berdoa untuk sahabat di luar pengetahuannya, maka malaikat berkata; “demikian juga semoga Tuhan perkenankan untuk dirimu.”

Tuhan menjawab doa tersebut: “Begitu juga lebih dahulu Aku perkenankan untuknya sebelum Ku-perkenankan untuk kawannya.”

Allah SWT ialah Tuhan yang Maha mengenang budi, justeru itu sebelum Dia perkenan doa untuk sahabat yang didoakan, lebih dahulu diperkenan doa untuk diri orang yang berbudi.

Sebelum diampun dosa sahabat yang dipohon oleh seseorang, terlebih dahulu Allah SWT ampunkan dosa orang meminta keampunan. Keampunan dosa suatu perkara mustahak yang amat dihajati oleh setiap orang, kerana tiada yang boleh ampun dosa selain Allah SWT.

Sebuah doa Nabi s.a.w. bermaksud: “Allah SWT mustajabkan doa seseorang mengenai sahabatnya, dengan cara dimustajab doa untuk dirinya sendiri.”

Adakalanya Allah SWT mustajabkan doa untuk sahabat kita, lantaran berkat tolong menolong saling berdoa untuk sahabatnya.

Dia tahu tiada siapa yang boleh ampun dosa, namun diusaha juga dipohon untuk sahabatnya.

Berkata Abu Dardak r.a.: “Bahawa aku berdoa dalam sujudku (solat sunat) untuk 70 sahabatku, dengan menyebut setiap nama sahabat karibku.”

Ini contoh persahabatan orang mukmin zaman silam. Begitulah akrab hingga disebut setiap nama sahabatnya dalam doa ketika sujud pada solat sunatnya, agar Allah SWT ampuni dosa sahabatnya.

Tuhan puji orang mukmin zaman dahulu, sebagai manusia contoh hasil tarbiyah Nabi s.a.w. Berkata orang salih bernama Muhammad bin Yusof Asfahani: “Di manakah kamu dapat bandingan kalau tidak dengan sahabat yang salih, kerana apabila kamu mati anak buahmu gembira lantaran akan mendapat pusaka daripada harta tinggalanmu. Tetapi sahabatmu yang salih apabila kamu mati, beliau akan keseorangan merindui padamu, runsing tentang dosa yang kamu lakukan dan akibatnya yang telah kamu terima di akhirat kelak.”

Apabila seorang mati lalu kebanyakkan manusia bertanya; telah matikah si fulan dan apakah pusaka yang ditinggalkan tetapi para malaikat pula bertanya; apakah pahala atau dosa yang telah dikirim ke akhirat oleh si mati?

Begitulah bezanya antara ulasan manusia terhadap kematian seseorang, berbanding ulasan para malaikat tentang kematian seorang hamba.

Malaikat bertanya mengenai dosa pahala yang telah dikirim ke akhirat, kerana amalan buruk dan baik manusia dicatit oleh malaikat Roqib dan Atid. Amalan buruk disimpan dalam stor yang bernama “sijjin” seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang durhaka tersimpan dalam sijjin.” (al-Mutoffifin: 7)

Sementara amalan salih tersimpan dalam stor yang bernama “’Illiyyin” seperti ditegaskan firman-Nya yang bermaksud: “Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam ‘Illiyin.” (al-Mutoffifin: 18)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr: 18)

Allah SWT peringatkan tentang apa yang dikirim untuk hari esok (akhirat), peringatan amat penting hingga Allah SWT apit dengan dua kalimah takwa.

Pesanan-Nya ialah; perhatikan sungguh-sungguh apa yang diperbuat untuk bekalan akhirat. Ertinya segala gerak kerja manusia di dunia hal landasannya ialah takwa, selain takwa hanya jadi beban yang tidak tertanggung oleh manusia.

Cari ilmu atau harta untuk akhirat dasarnya takwa, termasuk masalah siasah pemerintah negara mesti atas dasar takwa.

Tanda takwa ialah segala program berlandasakan al-Quran, patut rasa malulah dakwa negra Islam tetapi tidak berpaksi al-Quran.

Berkata ulama salaf: Adapun doa untuk orang yang mati ibarat beri hadiah kepadanya ketika hidup. Orang mati gembira menerima hadiah doa seperti dia gembira menerima hadiah ketika hidup.

Ketika seseorang diberi tahu si fulan telah mati, dia segera menyebut “Innalillahi wainna ilaihi raji’uun” kemudian berdoa dengan: :Allahummaghfir lahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu,” malaikat mencatat seolah-olah dia menziarahi dan sembahyang serta doakan jenazah si mati itu.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang mati di alam barzah ibarat manusia lemas dalam air, akan berpaut apa jua yang hanyut di depannya.”

Ahli kubur amat berharap pertolongan doa orang yang hidup, umpama orang yang lemas dalam air terlalu berharap sesuatu yang terapung hanyut di depannya untuk menyelamatkan dirinya.

Penghuni barzah menunggu doa daripada anak-anak atau bapanya, serta saudaranya dan rakan karibnya.  Alangkah bahagianya jika semua yang dinanti mendoakan dia…

Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment