Thursday, 11 August 2011

Artikel Motivasi: Maaf & Doakanlah Kebaikannya

Penulis: Aisha Ardini

 
Berita yg diterima Sarah itu benar-benar mengejutkan hatinya.  Dia baru mendapat tahu bahawa ada sahabatnya yg menjadi musuh dalam lipatan, menceritakan perihal kehidupannya pada insan yg lain dan lebih memeritkan, cerita yg disebarkan itu tidak benar dan mengandungi unsur fitnah dan cuba memburuk-burukkan peribadinya.

Dia menghela nafas yg cukup panjang tatkala mendengar berita tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapakah wujudnya perasaan sedemikian rupa yakni berniat untuk menjatuhkan diri dan maruahnya? Apakah jenis kepuasan yg diperolehi oleh si pembuat cerita?

Setelah berfikir sejenak, dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan cara yg baik. Setelah melakukan perbincangan, dia mengambil keputusan untuk melupakan sahaja dan memaafkan sahaja insan yg memperlakukan dia sedemikian rupa walaupun hatinya terasa pedih dek maruah dirinya yg cuba dicalar insan lain.

Ya, bukan mudah untuk memberi maaf, apatah lagi saat hati terluka dek tindakan insan lain pada hati kita. Saat jiwa masih berduka dan terluka, bagaimana untuk memaafkan insan yg menusuk pisau tepat di hati kita?

Bersabarlah andai ada insan yang menguji hatimu, dan tolaklah segala perkara yg tidak baik itu dengan cara yang baik. Walau apa yg disebarnya, yg benar itu tetaplah benar dan yg salah itu tetaplah salah. Allah S.W.T. mengetahui segalanya. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yg baik, pasti ada ganjarannya dari Ilahi.


"Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yg lebih baik sehingga orang yg ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yg setia," (Fushshilat, 34)

Memberi maaf kepada insan lain sebenarnya memberikan kebaikan kepada diri sendiri lebih daripada insan yg melukakan hati kita. Apabila kita memaafkannya, kita tidak lagi terjerumus dalam kancah dendam, benci membenci, tidak bertegur sapa, khianat mengkhianati, tikam belakang dan sebagainya yg memang akan menggelapkan hati kita.

Dengan memaafkan insan lain, kita telah menyucikan hati dari zarah-zarah kekotoran yg bakal menggelapkannya. Hati memainkan peranan penting dalam hidup insan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

Ingatlah bahawa dalam jasad ada segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati,”

Salah satu cara penjagaan hati ialah dengan memberi maaf pada insan yg lain. Sebelum diri melelapkan mata untuk menghadapi hari esok, katakanlah pada minda bahawa 'Aku memaafkan siapa sahaja yg pernah melukakan hatiku dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Semoga Allah mengampuni segala dosa, salah dan silapku,"

‎"Sesiapa yang memiliki hati yg suci bersih, pasti Tuhan begitu mencintai orang itu. Wahai anak Adam, orang yg paling dicintai Tuhan adalah orang yg paling bertakwa di kalangan kamu," (HR Muslim & Tabrani)

Maafkanlah insan lain sebagaimana dirimu mahu diampuni Allah atas segala salah silap dan kesilapan yg lalu. Setiap manusia pasti ada kelemahan dan kekurangannya, dan oleh itu dia cenderung untuk melakukan kesalahan dan kesilapan.

Barang siapa memberi maaf ketika dia mampu membalas, Allah akan mengampuni dia pada saat dia kesukaran,” (Al-Hadis)

Maafkanlah dirinya dalam waktu kadar yg cepat sebelum hatimu mula dikerumuni zarah-zarah hitam yg bakal menggelapkan hatimu. Maafkanlah dirinya dalam kadar cepat sebagaimana dirimu mahu Allah mengampunimu dalam kadar secepat mungkin juga atas segala dosa-dosa yg dilakukanmu.

"Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang," (An'-Nisa',110)

Usahlah menyimpan rasa permusuhan dalam hati. Biarkanlah apa yg berlalu itu hanyut pergi meninggalkan diri dan masa kini. Selalulah berpesan kepada diri agar tidak melampaui batas dalam keadaan  bagaimana sekalipun, dan ingatlah bahawa Allah S.W.T. itu bersama dengan orang yg benar

Daripada Aisyah r.a, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud "Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya," (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Suburkanlah kesabaran dalam diri. Mungkin ini masanya untuk dirimu menguatkan hati yg sebelum ini amat lemah terkulai tanpa ujian yg menimpa hati.

"Wahai orang-orang yg beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu..," (Ali Imran:200)

Walau apa yg dikata, jangan mudah sesekali untuk melenting dan marah dengan apa yg didengari dan diperlakukan. Bahana perasaan marah itu amatlah bahaya, ia perlu diurus sebaiknya dan disalurkan dengan cara yg baik.

"Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya," (Imam Syafie)

Redakanlah sifat marah itu dengan mendoakan kebaikan padanya. Jadilah seperti pohon, walau dilempar batu, namun tetap menggugurkan buah-buahan masak dan ranum.

Berdoalah kepada Allah agar si dia diberikan kesedaran atas segala apa yg dilakukannya yg benar-benar melukakan hatimu itu. Berdoalah agar Allah memberikan hidayah kepadanya agar dia dapat pulang ke pangkuan Ilahi

Bersyukurlah juga, kerana Allah melindungimu dengan memberi pengajaran kepadamu atas segala apa yg berlaku, dan menyebabkan dirimu tidak sanggup untuk melakukan perkara yg sama kepada insan lain kerana dirimu sudah tahu betapa perit pedihnya diperlakukan sedemikian rupa.

Ambillah pengajaran atas segala apa yg berlaku dan biarkanlah ia berlalu diheret bayu. Tiada gunanya diri memikirkan perkara sedemikian walhal waktu itu boleh digunakan untuk melakukan perkara yg lebih produktif dan berfaedah pada diri.

Akan segala apa yg berlaku, Allah S.W.T. tetap mengetahui segalaNya. Apa yang benar, sehingga akhirnya tetaplah benar dan apa yang salah, sehingga akhirnya, tetaplah salah. Andai sebuah kebenaran itu dilitupi dengan sebuah pembohongan, ia akan terbongkar juga.  Ia hanya menunggu masa untuk dizahirkan, sama ada dunia atau pun di akhirat kelak

"Dan janganlah kamu campur-adukkan yg benar itu dgn yg salah, dan kamu sembunyikan yg benar itu pula, padahal kamu semua mengetahuinya,"(Surah Al-Baqarah: 42)

Akhir kata, maafkanlah segala salah silapnya dan doakanlah kebaikannya, agar dirimu dan dirinya diampuni Allah dan menemui kebahagiaan hakiki.

No comments:

Post a Comment