Wednesday, 17 August 2011

Tok Bomoh

Pengertian Tok Bomoh.

Tok Bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah Tok Pawang dan dukun.

Pecahan-pecahan Tok Bomoh.

Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal ialah :-

a. Tok Bomoh Kayap

Tok Bomoh Kayap biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambilndaripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan
ialah seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya.

b. Tok Bomoh Santau

Tok Bomoh Santau biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan
ialah seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya.

c. Tok Bomoh Barah

Tok Bomoh Barah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan
ialah seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya.

d. Tok Bomoh Patah

Tok Bomoh Patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan
ialah seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya.

f. Tok Bomoh Ekor

Tok Bomoh Ekor biasanya menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru Jin dalam usaha untuk menghadirkan nombor ekor yang diingininya. Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung, cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya.

g. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit.

Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya.

h. Tok Bomoh Urat/urut

Tok Bomoh Urat dan urut mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak angin, air telaga dan sebagainya.

i. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya

Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat berbagai-bagai jenis penyakit yang pelik-pelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh.

Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan Tok Bomoh dalam istilah masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan Tok Bomoh yang tak dapat di terangkan dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut.

Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya.

Untuk menjadi Tok Bomoh dan sumpamanya, adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu. Antaranya :-

a. Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka, di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anak cucu mereka pula.

b. Mereka didatangi oleh Khadam yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi pertolongan.

c. Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.

d. Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya.

e. Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi menghasilkan hajatnya.

f. Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.

g. Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya.

KESESATAN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan tersebut bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :-

1. Sesat Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya. Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-

a. Melalui Jampi, mentera dan serapah.

Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-

Amalan Batin.

" Bismillahirrahmanirrahim."

Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Serapah lekat Tulang.

" Bismillahirrahmanirrahim."

Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Serapah menepung Tawar

" Bismillahirrahmanirrahim."

Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Mentera Menepung Tawar.

" Bismillahirrahmanirrahim."

Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah SWT dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.

Melalui Perbuatan / Kelakuan.

i. Kesesatan Tok Bomoh.

Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil "
Tanasakhul Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu
merawat pesakit tersebut. Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.

Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hinggselesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri.

Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai, masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w.

ii. Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.

Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya:-

 a. Melalui kaedah " Mubai’at yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah-sumpah yang bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.

b. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.

c. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.

d. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.

e. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang diajarinya kepada orang lain.

Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok Bomoh kerana di samping beliau mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit.

Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian

mereka mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat.

Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima panglima
yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.

Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana  rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.

iii. Kesesatan Ulama.

Ulama boleh menjadi sesat sekiranya mereka berhubung dengan khadam-khadam tumpangan yang terdiri daripada rohani Jin Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya. Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi oleh orang ramai bagi meminta pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama dan sebagainya.

Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran. Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam ilmu zahir dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi. Mereka harus sedar bahawa
dalam diri mereka masih ada lagi sifat-sifat mazmumah.

Dari satu segi perbuatan tersebut memang kelihatan baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan, tetapi yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah cara ulama tersebut menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin dan mereka pula memberi pertolongan kepada orang lain melalui bantuan khadam-khadam mereka.

Ulama-ulama jenis ini berselindung di sebalik keulamakan yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala merekamenggunakan kedudukan mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan
mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah diperbudak-budakkan oleh puakpuak Jin yang pintar menipu manusia itu.

Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat.

i. Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.

Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah. Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.

Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru,
alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik.

Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya.

Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.

Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta
mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin
penunggu Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guruguru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.

Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.

ii. Pengeras / Upah.

Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang. Ada juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.

Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.

Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-Quran , Selawat-selawat Nabi s.a.w. dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas.

iii. Pemutus Ubat.

Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok

Bomoh, antaranya seperti :-

a. Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.

b. Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu

c. Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali

d. Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.

Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau
melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan

penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah

berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat

yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu.

No comments:

Post a Comment