Allah berhak beri hidayah walaupun terhadap insan yang melakukan kejahatan.
ALLAH berfirman yang bermaksud:
“Sesiapa
yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk
menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan
dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah
menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.”
(Surah al-An’am, ayat 125).
Allah
Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang
dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat
mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan,
kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan
kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Hidayah
itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai
kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam
menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada
Allah ke arah jalan yang benar.
Lebih-lebih lagi perjalanan hidup
berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan
pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam
mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.
Hidayah
petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur
berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung
kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti
kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman
dan
bertaqwa. Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian
darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan
hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh
dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya Abu Lahab.
Ada
juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang
yang solih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim
dengan ayahnya, pengukir patung berhala. oleh sebab itu, kita tidak
boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan
mendapat hidayah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada
sesiapa dikehendaki-Nya.
Biarpun hidayah menjadi milik mutlak
kepada mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah
Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah. Dakwah yang baik
dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga contoh kaedah iaitu
berdakwah secara hikmah atau bijaksana,memberi pengajaran atau contoh
teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.
Oleh itu, setiap Muslim perlulah mempergiatkan usaha untuk berdakwah
dan bersabar dalam
menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan
Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam,
keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.
Hidayah dan
petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan
diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk
menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment