♥ KERIKIL BIASA ♥
Bismillah...
Islam itu mudah apabila pertama menjalankan syari’at Islam boleh secara
bertahap. Dalam hal ini, seorang muslim tidak serta-merta diharuskan
menjalankan kewajiban agama dan amalan-amalan sunnah secara serentak.
Ada tahapan yang mesti dilalui: mulanya kita hanya diperintahkan untuk
melaksanakan kewajiban-kewajiban pokok agama. Setelah yang pokok-pokok
berhasil dilakukan dengan baik dan rapi, kalau punya kekuatan dan
kesempatan, maka dianjurkan untuk menambah dengan amalan-amalan sunnah.
Bagaimana?
Pertama, membenarkan Islam diamalkan secara berperingkat-peringkat
seperti kita mendidik seseorang untuk melakukan solat. Saya berikan
contoh dari cerita seorang lelaki yang baik tetapi malas solat.
Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat
seorang pemuda yang sangat malas untuk mendirikan solat. Malah dia
tidak mendirikan solat lima waktu sama sekali. Seorang diri pun berat,
apalagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke
tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama
yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.
“Anda wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.
“ Emm.. insyaAllah kalau saya rajin akan saya lakukan“ jawab pemuda tersebut secara sinis.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama' daripada
al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama
diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka
ulama' ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.
“Syeikh
pun mau menegur saya juga? mau menyuruh saya dirikan solat lima waktu?”
sindir pemuda ini bila melihat ulama' tersebut datang bertamu ke
rumahnya.
Ulama' tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar
ingin berkenalan. Tiada niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu
sebutkan”.
Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung
tidak disentuh oleh ulama' tersebut berkenaan solat . Perkara yang
dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang
tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.
Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sadar
terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti
yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus
memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan
solat.
Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat
penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah akrab pergaulan mereka.
Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh
tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa
beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan
oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang
bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama'
menyentak-nyentak jiwanya.
Sebelum berpisah, Syeikh memeluk
Ahmad seraya berkata dengan lembut: “Ahmad, aku pernah mendengar
suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah solat. Betulkah
begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh
tersebut.
“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak
mengetahui bahawa solat itu wajib cuma sikap malas yang ada padaku
inilah yang menghalang untukku melakukannya” jawab Ahmad memberikan
alasan.
“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”
“Permintaan apa itu wahai tuan?”
“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai; Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk dikerjakan.
“ Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.
“Boleh tapi hanya untuk kamu saja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.
“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai
petani bukan? Dan kamu juga sering bangun pagi untuk ke kebunmu.
Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Benar Tuan Syeikh” jawab Ahmad.
”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, tanggung kamu telah bangun awal
setiap pagi; Bagaimana jika kamu basahkan sedikit saja anggota tubuhmu
dengan wuhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua
rakaat saja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan
cadangan kepada Ahmad.
Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima
cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia
menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu akrab dengannya.
“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali
solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan
berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di
masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad?" Syeikh
memohon jaminan daripadanya.
“Aku berjanji akan menunaikannya”.
Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke
Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada
Ahmad untuk melaksanakan janjinya.
Tahun berikutnya, setelah
Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira
bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut
penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap
tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan
tersebut.
Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh
secara berjemaah di masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya:
“Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang
engkau tertinggal menunaikan solat subuh?”. Ahmad menjawab dengan yakin:
“Berkat doamu tuan Syeikh; Alhamdulillah sehari pun aku tidak
ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”.
“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar menunaikan janjimu.”
“Mudah saja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”
“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah
sekali. Yang penting jangan rasakan itu suatu paksaan. Tetapi anggap
ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa,
tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka
tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan
kepada Ahmad.
“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”
“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Ketika azan zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir asar”.
“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki
untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta
kepastian.
“Ya benar Tuan”
“Kalau begitu, apa
pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu
itu. Terus niatkan saja sebagai wuduk. Selesai makan, terus dirikan
solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan?
Takkan lari tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.
Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “Betul juga apa yang
disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba
laksanakannya”.
Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira
dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh
di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji
untuk datang semula pada tahun hadapan.
Begitulah keadaannya
Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin
bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh
bertandang ke tempat tersebut.
Ahmad seperti biasa hanya
mendirikan solat empat waktu kecuali isya’. Selesai menunaikan solat
maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.
Suatu hari
semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah
menunaikan solat maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.
“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.
“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”
“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.
“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau
perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid
ini berbanding kamu? Dan apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada
di dalam masjid ini?”
Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.
“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”
“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.
“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad dengan penuh semangat.
“Kalau begitu dirikanlah solat isya’. Maka engkau tidak lagi kurang
berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami”
Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.
Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berhasil
menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.
Lima tahun bukanlah rentang waktu yang singkat untuk memberikan dakwah
seperti ini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan
demi menyampaikan risalah dakwah.
Berbeza dengan kita sekarang.
Sekali kita berkata, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam
sekejap mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita,
kita mencemuh, dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan
dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.
SEMOGA BERMANFAAT
No comments:
Post a Comment