Saturday 3 December 2011

.:: PANTUN MUHASABAH ::.

Sebagai Renungan Buat Semua Saudaraku...

Jadikan Takwa Sebagai Jalan,
Dalam Hidup sepanjang Zaman,
Taat Dan Patuh Pada Pimpinan,
Selama Al Quran Sebagai Pegangan.

Sunnah Nabi dipegang teguh,
Sunnah Khulafa diikut penuh,
Mesti waspada ajaran musuh,
Segala bida'ah ditolak sungguh.

Dunia Luar datang mengepung,
Dunia islam kita terkurung,
Ibarat buih hanyut terapung,
Dipukul ombak besar menggulung.

Jangan biar umat binasa,
Mungkar maksiat bermaharajalela,
Kita semua pasti merasa,
Akibat buruk datang menimpa.

Ilmu agama beransur hilang,
Para ulama kian berkurang,
Ilmu dunia makin cemerlang,
Jadi tumpuan setiap orang.

Bekalkan diri ilmu akhirat,
Untuk laksana amal ibadat,
Tuntutlah ilmu sebelum diangkat,
Negeri akhirat pasti selamat.

Langkah yahudi diturut jangan,
Umat yahudi dimurka Tuhan,
Jalan Nasrani jangan diikutkan,
sebab menyekutukan Tuhan.

Kenapa kita mesti melutut,
Umat nasrani sesat di jalan,
Kepada bangsa besifat taghut,
Amal dibuat tanpa pedoman.

Al Quran itu kalam Ilahi,
Pedoman hidup kekal abadi,
Hadith junjungan jangan dinafi,
Tempat kedua pedoman suci.

Ulama salaf jadi ikutan,
Banyak mengarang berbagai sunan,
Jadikan ia sebagai pedoman,
janganlahn ia kita abaikan.

Setiap zaman dan juga tempat,
akan wujud pembela umat,
penyebar ilmu pembawa rahmat,
tetap berjaya tidak tersekat.

Kepada ALLAH syukur dipanjat,
memilih kita sebaik ummat,
penyebar ilmu pembawa rahmat,
membawa kita ke kehidupan berkat.

Umat dahulu banyak penyakit,
usah diikut jalan mereka,
kerana mewah banyak berduit,
kelak jadi api neraka.

Harta disimpan berderet-deret,
hingga lupa pada yang tiada,
akhirnya hidup himpit menghimpit,

Nasib aga di akhir zaman,
kembali asing dari pandangan,
ramailah orang sudah lupakan,
rukun islam dan rukun iman.

Hendak kemana arah tujuan,
bila agama sudah dilupakan,
marilah kita cuba hidupkan,
syariat Tuhan sunnah junjungan.

cubalah lihat para sahabat,
cubalah lihat pada dirimu,
banyak bersabat rajin ibadat,
semua cukup makan dijamu.

Walaupun hidup susah melarat,
hanya ALLAH tempat mengadu,
cinta dengan alam akhirat,
sebab dunia hanyalah debu.

Bila harta jadi idaman,
wang dianggap sebagai tuhan,
hilang malu dan rasa segan,
meminta rasuah jadi amalan.

ketika itu runtuhlah akhlak,
ditambah pula rakus dan tamak,
cantas mencantas salak menyalak,
bagaikan anjing di dalam semak.

Sifat amanah akan hilang
dari kalangan orang terbilang,
tipu menipu tiadalah sumbang,
nasib dunia bertambah malang.

waktu eloknya bila dilihat,
zahirnya cantik berkilat kilat,
hatinya curang lidahnya berlipat,
sifat amanah telah diangkat.

Hujan berkurang cuaca makin panas
makin bertambah pelaku ganas,
budaya lepak dan juga malas,
arak judi dan dadah sanggup di galas.

Anak derhaka menjadi jadi,
alim ulama tidak dihormati,
didikan islam tidak diberi,
Takzim dan taat tidak diminati.

Anak tiada mengenang budi,
banyak sekali tempat maksiat
ibu bapa dibuat abdi,
tanda punca keruntuhan umat.

Hendaklah kita berhati hati,
dalam mencari nafkah dan rezeki,
jangan diikut kehendak isteri,
nanti membawa binasa diri.

Anak dididik akhlak diberi,
dengan tarbiyah agama suci,
dari buaian hingga ke mati,
terus menerus tidak berhenti

Jangan abaikan nasihat ini,
nanti kau sesal kemudian hari,
betapa banyak azab diberi,
kerana turutkan kehendak isteri.

Dua golongan pasti diseksa,
jadi penghuni api neraka,
golongan zalim serta penganiaya,
tidak kesian raakyat jelata.

Kaum wanita aurat dibuka,
berlenggang lenggok di jalan raya,
sanggol dililit bagai mahkota,
tak akan mencuim semerbak syurga.

Begitu juga dengan lelaki,
bangga mendedah aurat diri,
di khalayak awam tanpa peri,
kelak diamnya di dalam api.

Galian bumi muncul tercurah,
kurnia Tuhan Yang Maha Pemurah,
Hendaklah syukur moga di tambah,
Sifat kufur mestilah dicegah.

Dunia islam tambang melimpah,
galian emas, petrol dan timah,
namun mengapa harta di serah,
kepada kafir pemusnah ummah.

Tanah yang tandus menjadi subur,
kurnia Tuhan Malikul Ghafur,
air dipancut taman di atur,
sehingga lupa bekalan kubur.

Padang Arafah bagaikan taman,
pohon tumbuh bagaikan hutan,
sejuk dipandang sangat menawan,
Padang Mahsyar bakal dilupakan.

Ramai orang tidak mengira,
dari mana berolah harta,
halal dan haram tidak dibeza,
asalkan cepat menjadi kaya.

Memang nafsu sudah mengatur,
cinta dunia sukar dilebur,
jangan biarkan hatimu kotor,
nanti diseksa di dalam kubur.

Ramailah orang berlumba lumba,
untuk mendapat faedah dan riba,
saham dilabur disegenap bursa,
tiadalah takut akan diseksa.

Bukankah sudah diberitahu,
mereka akan menjadi seteru,
kepada Allah Yang Maha Satu,
sehingga sanggup bantu membantu.
Khamar diminum di banyak kedai,
jadi biasa dikalangan handai,
banyak terlibat si cerdik pandai,
iman di dada sanggup di gadai.

alunan musik ikut sertakan,
para biduan sama nyanyikan,
menari nari lupa daratan,
bagaikan kera terkena belacan.

sedikit ilmu banyak yang jahil,
akibat zina banyak yang hamil,
banyak terjadi perkara ganjil,
di sana sini besar dan kecil.

Jumlah lelaki kian sedikit,
wanita ramai berhimpit himpit,
wanita berkerja mencari duit,
peluang lelaki menjadi sempit.

jumlah lelaki menjadi sedikit,
akibat perang dan juga bencana,
yang tinggal pula banyak terbalik,
sebab cintakan sesama jantina.

Golongan wanita makin bertambah,
sehingga penuh disegenap ranah,
sehingga ada yang sanggup meredah,
asal ada yang sanggup berserah.

Hamba berlagak sebagai tuan,
disana sini naik bangunan,
sungguh tinggi menggapai awan,
seolah mencabar kuasa Tuhan.

Badwi yang miskin kaya mengejut,
baru kemarin tidak berkasut,
harta dipegang tiadalah luput,
walaupun kaya tetap kedekut.

Bersungguh kita menjaga iman,
banyak cabaran di akhir zaman,
iman ibarat api ditangan,
setiap masa mahu dilepaskan.

Ujian berat kita rasakan,
datang menimpa menjadi beban,
alangkah hebat godaan syaitan,
untuk meruntuh istana iman.

Orang khianat di sanjung sanjung,
orang amanah tidak di dukung,
pemimpin zalim bunga di kalung,
mujahid islam ke tali gantung.

Bangkitlah wahai pewaris nabi,
jangan dibiarkan umat dikeji,
teruskan jihad ke jalan suci,
sebar luaskan rahmat Ilahi.

Dari timur sampai ke barat,
perang terjadi makinlah hebat,
tiada kasihan mata melihat,
bergelimpangan manusia menjadi mayat.

Harta dunia jdi rebutan,
darah ditumpah sebagai tebusan,
tidak peduli kawan dan lawan,
asalkan mendapat harta rampasan.

Waktu yang panjang terasa singkat,
Amal ibadat belum dibuat,
Bulan berlalu hari dan saat,
tanda dunia hampir kiamat.

kenapa kita selalu lalai,
waktu dibuang tidak dipakai,
masalah umat berbagai bagai,
tangungjawab kita belum selesai.

Ujian dahsyat terhadap iman,
hampir menggegar asas pegangan,
di pagi petang kiri dan kanan,
iman di dada dilepas jangan.

Jangan dijual agama suci,
walau harga mahal sekali,
simpanlah ia di sanubari,
untuk bekalan menuju mati.

Ketika dunia dilanda perang,
kabau bilau tidak terbilang,
walaupun engkau hanya seorang,
amal ibadat dikurang jangan.

Ketika itu amat berharga,
pahala ibadat berlipat ganda,
bagaikan kita hijrah namanya,
bersama nabi dalam derita.

Lama menanti berdiri tegak,
mereka saling tolak menolak,
tidak kunjung tiba orang yang warak,
menjadi imam pada yang layak.

Inilah taqsir buat semua,
pondok dihapus tidak dibela,
kitab disimpan tidak dibaca,
hanya hiasan di almari kaca.

Para ulama tidak dihormat,
nasib mereka tidak diangkat,
siapa lagi pedoma umat,
kalau mereka tidak diminat.

Bila ulama sudah tiada,
barulah kita rasa kecewa,
mayat terbujur dalam keranda,
tiada orang membaca doa.

Nasib islam di akhir zaman,
cuma nama tanpa amalan,
Al quran dibaca untuk pertandingan,
suruh tegahnya tidak dihiraukan.

Ada ulama mencari dunia,
bermacam fatwa mudah dibaca
asalkan dapat wang dan harta,
hukum hakam direka reka.

Hampir kiamat islam mundur,
bagaikan kain yang sudah luntur,
Al Quran hilang tidak ditutur,
ilmu diangkat beransur ansur.

Solat sudah tidak difaham,
Ilmu syariat tidak di dalam,
terlalu jahilkan hukum islam,
hingga syahadah tidak difaham.

Banyak maksiat orang lakukan,
balakan turun sebagai seksaan,
angin yang merah ALLAH tiupkan,
gempa dahsyat serta menggemparkan

sudahlah diri teruk sekali,
kenapa pula orang dicaci,
sahabat nabi pula di maki,
itu perangai orang yang keji.

Harta negara jadi habuan,
bagi siapa pegang jawatan,
wang amanah diperniagakan,
asalkan saja dapat keuntungan.

anak derhaka tidak terbilang,
awan dibakti ibu dibuang,
hukum zakat laksana hutang,
kehendak isteri tidak dihalang.

Orang yang hina suka ditabal,
orang dimulia kerana nakal,
suruhan ayah terus ditinggal,
di dalam masjid suka berbual.

Maruah negara sebagai taruhan,
harta negara jadi milikan,
arak diminum tiadalah sopan,
kain sutera menjadi pakaian.

Lima maksiat dibalas segera,
dalam dunia sebagai dera,
supaya insan insaf dan taat,
untuk buat taubat nashuha.

syariat ALLAH pasti tegakkan,
pedoman hidup jangan diabaikan,
cuai dan taqsir mengakibatkan,
perang saudara yang merugikan.

Bila urusan telah diserahkan,
pada orang yang bukan petah,
maka tunggulah hancur dan punah,
ibarat retak menanti belah.

Orang yang ahli bukan tiada,
tapi peluang tidak dibuka,
tamak dan rakus jadi penggoda,
akhirnya kita hancur semua.

Masjid mereka tersergam indah,
bagai istana yang sangat mewah,
jadi tumpuan wisata berkelah,
tiada malu aurat didedah.

Ketika azan nyaring disebut,
dari menara tersedu sedu,
hanya sedikit datang menuju,
lebih banyak duduk terpaku.

Ada kumpulan sanggup menggadai,
agama suci diubah suai,
tiada malu kepada handai,
asalkan wang dapat dicapai,
manis uca[pan sedap ungkapan,
namun dihati wang diniatkan,
ALLAH bersumpah pasti turunkan,
azab yang pedih dan menbingungkan.

Ibadah haji sudah terpesong,
dari tujuan yang sangat agung,
orang yang kaya hanya melancong,
orang miskin mencari untung.

Setiap tahun pergi ke Makkah,
wang dibelanja melimpah ruah,
jiran yang miskin disebelah rumah,
tidak dibantu diambil kisah.

urus niaga bertambah maju,
banyak barangan dijual laku,
puteri yang canti turut membantu,
daya tarikan orang menuju.

Alat yang canggih banyak direka,
era internet korridor raya,
banyak orang hidup bergaya,
semua dapat dicapai segera,

walaupun ilmu canggih dan hebat,
dunia jauh menjadi dekat,.
tetapi insan hilang martabat,
hidup seperti cara barat.

Umat yaudi berpecah belah,
umat nasrani berpaling tadah,
semua kan syurga tegah,
hanyalah satu diberi Jannah.

umat islam juga berpecah,
banyak golongan berbagai firqah,
hanyalah satu neraka tegah,
ahli sunnah wal jamaah....

~Nurmujahiddah Solehah~

2 comments:

  1. Salam. Dari mana Tuan mendapat pantun ini ya? kera ada seorang pakcik tua di surau tempat saya melagukan beberapa bait pantun ini setiap kali sebelum subuh sebelum tarhim. indah sekali

    ReplyDelete
  2. Izin memakai pantun buat Puan Nurmujahiddah Solehah dan mempostingnya di blog saya..... terima kasih banyak atas perkenannya...........

    ReplyDelete