Monday, 5 December 2011

TIPS MENJADI IBUBAPA CEMERLANG

Sebagai Ibu Bapa anda adalah ketua, anda adalah pemimpin, anda juga guru, anda juga Imam kepada anak-anak anda.

Dibawah ialah tips yang perlu anda ada, bagi menjadi anda sebagai ibu bapa yang cemerlang.


1. MENGUASAI ILMU DAN HIKMAT.


Dalam surah Luqman ayat 12, Allah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmat. Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’

Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tampa ilmu dan kefahaman ibu bapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.


2. MEMENTINGKAN IMAN DAN TAQWA.


Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam batu yang besar atau di tempat-tempat lain, Allah tetap mengetahuinya. Hal in disebut dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa Alah sentiasa melihat gelagat hambanya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat bagi seseorang.


3. MEMELIHARA IBADAH.


Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah SOLAT. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak.


4. MEMELIHARA AKHLAK.


Antara akhlaq yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawaduk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlaq yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.


5. BERSIKAP POSITIF DALAM UJIAN.


Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sabar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.


6. MEMBINA KEMAHIRAN.


Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan.

Mengikut imam Ahmad dan Baihaqi, nabi bersabda “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu”.


7. PEKA DAN BERPERANAN.


Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran (ayat 17). Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.


Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagiakan orang lain.

Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.

Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.

Tingginya darjat suami ditentukan oleh perjuangannya menjadi pemimpin rumah tangga, sehingga dituntut menjadi teladan yang baik bagi keluarga yang dipimpinnya.

Sesungguhnya keluarga itu tempatnya yang aman dan selesa dalam berkongsi suka dan duka.

Kasih sayang yang terjalin diantara anak dan ibubapa mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka.

Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk senantiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibubapanya.

Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.

Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan.

Anak-anak lebih memerlukan contoh dan keteladanan dari kedua ibu-bapa mereka daripada celaan dan kekerasan.

Kehidupan kita akan berubah apabila dimulai dengan perubahan diri, keluarga dan persekitaran.

Mahkota orang tua adalah anak cucunya dan kehormatan anak-anak adalah kerana nenek moyang mereka.

Apabila setiap ahli keluarga saling mencintai, menyayangi, dan saling mengalah, nescaya seluruh masyarakat akan menjadi baik, aman dan damai.

Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga.

Komunikasi dalam keluarga akan senantiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah pun tetap terjaga.

Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.

Rasullullah s.a.w bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah.

Warisan termahal dan terbaik dari diri kita untuk keluarga, keturunan, dan masyarakat adalah keindahan akhlak kita.

Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Cintailah suami atau isteri kita dengan memuliakan ibubapa dan keluarganya.

Bagaimana kita bersikap kepada anak-anak kita, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita.

Maka berikan sikap yang terbaik kepada mereka
Jika Allah cinta kepada sebuah keluarga, maka salah satu cirinya ialah keluarga itu dibukakan hati untuk ilmu agama.

Kebahagiaan sesuatu keluarga bukanlah diukur dari segi mata-benda, tapi sejauh mana ketaatan keluarga kepada Allah.

Ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibubapanya kelak di akhirat.




No comments:

Post a Comment