Virus chicken pox atau cacar air juga
dikenali sebagai virus varicella. Ia adalah virus sama yang menyebabkan
kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak
dari seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan
mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters).
Bagaimanakah penyakit cacar air merebak?
* Melalui udara bila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.
* Dengan menyentuh cecair yang keluar dari lepuh (blister) cacar air.
* Dengan menyentuh benda/permukaan yang dibasahi oleh cecair daripada lepuh tersebut.
Apakah tanda-tanda dan gejala?
Anak anda akan mendapat cacar air
13–17 hari selepas terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air.
Cacar air boleh merebak 1–2 hari sebelum ruam kelihatan sehingga semua
ruam berkeropeng dan kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan
yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa boleh
menjadi lebih serius.
Gejala-gejala penyakit cacar air yang lain :
* Demam, rasa tidak sihat dan letih lima hari sebelum ruam timbul.
* Ruam bermula bintik merah yang kecil
dan gatal (seperti jerawat) pada semua badan termasuk mulut. Biasanya
ruam bermula di dada dan belakang, kemudian merebak ke muka, kepala,
kedua-dua lengan dan kaki.
* Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan
kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah, kering dan
menjadi keruping (4 -5 hari)
* Bintik-bintik baru akan terus timbul
untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang. Biasanya
jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walau
bagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap
(shingles) kepada orang dewasa dan kadang-kadang kepada kanak-kanak.
Apakah komplikasi penyakit cacar air?
Biasanya cacar air ialah masalah
kesihatan ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakannya akan pulih. Walau
bagaimanapun, sesetengah orang berisiko mendapat komplikasi yang teruk,
iaitu bayi yang baru lahir, orang dewasa dan seseorang yang mempunyai
sistem pertahanan badan yang lemah.
Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk:
* Jangkitan kuman pada kulit
* Jangkitan pada darah
* Radang paru-paru
* Keradangan otak
Bagaimana jangkitan cacar air dirawat?
Amnya:
* Elakkan anak anda ke sekolah atau
taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak (lebih kurang
tujuh hari daripada permulaan ruam). Jika tidak kemungkinan
kawan-kawanya akan turut dijangkiti.
* Ambil ubat paracetamol untuk mengurangkan demam.
* Minum banyak air masak.
* Ambil makanan yang seimbang.
* Sentiasa membasuh tangan.
Untuk rasa gatal:
* Sapu losen kalamine di tempat ruam.
* Mandi dengan kerap dan sabun dengan
menggunakan campuran ‘baking soda’ dengan air suam beberapa kali sehari
untuk mengurangkan rasa gatal.
* Potong kuku pendek untuk mengelakkan kecederaan kulit semasa menggaru.
* Ubat antihistamine mungkin diberi
oleh doktor jika rasa gatal yang teramat sangat sehingga anak anda tidak
dapat tidur. Ubat antivirus untuk cacar air boleh didapati dan
selalunya akan diberi oleh doktor kepada mereka yang berisiko mendapat
jangkitan yang teruk, iaitu:
* Berumur 12 tahun ke atas.
* Mengidap penyakit paru-paru yang kronik.
* Mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.
* Bayi yang baru lahir.
Bagaimana cacar air boleh dicegah?
* Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian. Minta nasihat doktor.
* Jika anda mendapat cacar air,
elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau
ke tempat kerja sehingga lepuh menjadi kering dan berkerak.
* Seseorang yang berisiko mendapat
cacar air yang teruk (bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem
pertahanan badan yang lemah, wanita mengandung) yang terdedah kepada
seseorang yang mengidap cacar air, mungkin diberi antibodi dalam bentuk
immunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.
No comments:
Post a Comment