KEDUDUKAN WANITA DIMATA ISLAM
Bismillahirrahmanirrahim
.
KEDUDUKAN WANITA DIMATA ISLAM
Sesungguhnya wanita muslimah memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam
dan pengaruh yang besar dalam kehidupan setiap muslim. Dia akan menjadi
madrasah pertama dalam membangun masyarakat yang soleh, tatkala dia
berjalan di atas petunjuk Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Kerana berpegang
dengan keduanya akan menjauhkan setiap muslim dan muslimah dari
kesesatan dalam segala hal.
Kesesatan dan penyimpangan umat
tidaklah terjadi melainkan kerana jauhnya mereka dari petunjuk Allah dan
dari ajaran yang dibawa oleh para nabi dan rasul-Nya. Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, di mana kalian tidak
akan tersesat selama berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah dan
sunnahku.” (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’ kitab
Al-Qadar III)
Sungguh telah dijelaskan di dalam Al-Quran
betapa pentingnya peranan wanita, baik sebagai ibu, isteri, saudara
perempuan, mahupun sebagai anak. Demikian pula yang berkenaan dengan
hak-hak dan kewajiban-kewajibannya. Adanya hal-hal tersebut juga telah
dijelaskan dalam sunnah Rasul.
Peranan wanita dikatakan penting
kerana banyak beban-beban berat yang harus dihadapinya, bahkan
beban-beban yang semestinya dipikul oleh lelaki. Oleh kerana itu, menjadi
kewajiban bagi kita untuk berterima kasih kepada ibu, berbakti
kepadanya, dan santun dalam bersikap kepadanya. Kedudukan ibu terhadap
anak-anaknya lebih didahulukan daripada kedudukan ayah. Ini disebutkan
dalam firman Allah,
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar
berbuat baik) kepada ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam
keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun.
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu. Hanya kepada-Ku
lah kamu akan kembali.” [Surah Luqman: 14]
Begitu pula dalam
firman-Nya, “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada
ibu bapaknya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan
melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandung dan menyapihnya
adalah tiga puluh bulan.” [Surah. Al-Ahqaf: 15]
Dalam sebuah
hadis disebutkan bahawa pernah ada seorang laki-laki datang kepada
Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling
berhak bagi aku untuk berlaku bajik kepadanya?” Nabi menjawab, “Ibumu.”
Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia siapa?” Nabi menjawab,
“Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia siapa?” Nabi
menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia
siapa?” Nabi menjawab, “Ayahmu.” (HR. Bukhari, Kitab al-Adab no. 5971
juga Muslim, Kitab al-Birr wa ash-Shilah no. 2548)
Dari hadis
di atas, hendaknya besarnya bakti kita kepada ibu tiga kali ganda berbanding bakti
kita kepada ayah. Kemudian, kedudukan isteri dan pengaruhnya terhadap
ketenangan jiwa seseorang (suami) telah dijelaskan dalam Al-Quran.
Allah berfirman,
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk
kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan menjadikan rasa kasih dan sayang di
antara kalian.” [Surah Ar-Rum: 21]
Al-Hafizh Ibnu Katsir -semoga
Alah merahmatinya- menjelaskan pengertian firman Allah: “mawaddah wa
rahmah” bahawa mawaddah adalah rasa cinta, dan rahmah adalah rasa kasih
sayang.
Seorang lelaki menjadikan seorang wanita sebagai isterinya
bisa kerana cintanya kepada wanita tersebut atau kerana kasih sayangnya
kepada wanita itu, yang selanjutnya dari cinta dan kasih sayang
tersebut keduanya mendapatkan anak.
Sungguh, kita bisa melihat
teladan yang baik dalam masalah ini dari Khadijah r.h., isteri Rasulullah,
yang telah memberikan andill besar dalam menenangkan rasa takut
Rasulullah ketika beliau didatangi malaikat Jibril membawa wahyu yang
pertama kalinya di goa Hira’. Nabi pulang ke rumah dengan gementar dan
hampir pengsan, lalu berkata kepada Khadijah, “Selimuti aku, selimuti
aku! Sungguh aku khawatir dengan diriku.” Demi melihat Nabi yang
demikian itu, Khadijah berkata kepada beliau, “Tenanglah. Sungguh, demi
Allah, sekali-kali Dia tidak akan menghinakan dirimu. Engkau adalah
orang yang senantiasa menyambung tali silaturrahim, sentiasa berkata
jujur, tahan dengan penderitaan, mengerjakan apa yang belum pernah
dilakukan orang lain, menolong yang lemah dan membela kebenaran.” (HR.
Bukhari, Kitab Bad’ al-Wahyi no. 3, dan Muslim, Kitab al-Iman no. 160)
Kita juga tentu tidak lupa dengan peranan ‘Aisyah. Banyak para sahabat,
baik yang laki-laki mahupun yang perempuan, menerima hadis daripadanya
berkenaan dengan hukum-hukum agama.
Kita juga tentu mengetahui
sebuah kisah yang terjadi sebelum ini berkenaan dengan isteri Imam
Muhammad bin Su’ud, raja pertama kerajaan Arab Saudi. Kita mengetahui
bahawa isteri beliau menasihati suaminya yang seorang raja itu untuk
menerima dakwah Imam al-Mujaddid Muhammad bin Abdul Wahhab. Sungguh,
nasihat isteri sang raja itu benar-benar membawa pengaruh besar hingga
membuahkan kesepakatan antara Imam al-Mujaddid Muhammad bin Abdul Wahhab
dengan Imam Muhammad bin Su’ud untuk menggerakkan dakwah. Dan
-alhamdulillah- kita bisa merasakan hasil dari nasihat isteri raja itu
hingga hari ini, hal mana aqidah merasuk dalam diri anak-anak negeri
ini. Dan tidak bisa dipungkiri pula bahawa ibuku sendiri memiliki peranan
dan andil yang besar dalam memberikan dorongan dan bantuan terhadap
keberhasilan pendidikanku. Semoga Allah melipat gandakan pahala untuknya
dan semoga Allah membalas kebaikannya kepadaku tersebut dengan balasan
yang terbaik.
Tidak diragukan bahawa rumah yang penuh dengan
rasa cinta, kasih dan sayang, serta pendidikan yang Islami akan
berpengaruh terhadap kehidupan seseorang. Dengan izin Allah seseorang
yang hidup dalam lingkungan rumah seperti itu akan sentiasa
mendapatkan taufik daripada Allah dalam setiap urusannya, sukses dalam
pekerjaan yang ditempuhnya, baik dalam menuntut ilmu, perdagangan,
pertanian atau pekerjaan-pekerjaan lain.
Kepada Allah-lah aku
memohon semoga Dia memberi taufik-Nya kepada kita semua sehingga dapat
melakukan apa yang Dia cintai dan Dia redhai. Salawat dan salam semoga
tercurah kepada Nabi kita Muhammad, keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
(Majmu’ Fatawa Syaikh Ibnu Baz III/348)
..salam perkongsian ilmu..
No comments:
Post a Comment