Wednesday, 5 October 2011

MEMBERIKAN PENDIDIKAN AGAMA

Bismillahirahmanirrahim
Pendidikan agama merupakan perkara yang paling utama untuk membentuk seseorang anak itu agar ia berjaya di dalam mengharungi hidup ini. Dilihat dari segi bahasa, istilah agama menggambarkan keutuhan dan ketenteraman seseorang dalam mengharungi kehidupan di dunia hingga kehidupannya di akhirat kelak.

Istilah agama berasal dari bahasa Sankrit yang terdiri dari 'A' ertinya 'Tidak' dan 'Gama' ertinya kucar-kacir atau bercerai-berai. Jadi agama bermakna tidak kucar-kacir atau bercerai-berai. Dengan erti kata lain istilah agama bererti sentiasa rapi, teratur, dan penuh disiplin dalam seluruh kehidupan.

Setiap ibu bapa hendaklah menanamkan norma-norma dan nilai-nilai keagamaan kepada anak-anaknya agar anak-anak tersebut memahami bahawa semasa hidup, manusia itu ada aturan, tentangan, cabaran. Oleh sebab itulah Islam mengajarkan kepada penganutnya supaya pendidikan agama diterapkan sejak awal-awal lagi. Sebaik sahaja bayi itu dilahirkan, maka disunatkan kepada ibu atau bapanya untuk mengumandangkan azan di telinganya. Tujuannya supaya bayi tersebut mendengar syahadah untuk mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan di seluruh alam ini.

Cara yang paling baik dilakukan ialah pada setiap saat, bayi itu hendaklah diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran ataupun selawat nabi. Bacaan tersebut hendaklah dilakukan oleh ibu bapanya sendiri atau orang yang menjaganya.

Pendapat yang semacam ini, mungkin ada yang membantah dan memberikan beberapa kritikan yang hanya didasarkan rasional semata-mata. Mereka mungkin bertanya, "Apakah gunanya memperdengarkan bacaan-bacaan itu kepada bayi yang belum faham dan mengerti sesuatu."

Secara biologi atau fizikalnya, memanglah seorang bayi itu belum mampu berbuat apa pun dan memahami suatu hakikat. Walau bagaimanapun, perbuatan memperdengarkan bacaan ayat Al-Quran ataupun selawat akan dapat memberikan kesan positif terhadap jiwa bayi yang berkenaan. Percikan nilai-nilai suci yang diperdengarkan itu dapat menerangi hati dan jiwanya. Dengan berbuat demikian, sekali gus kita berdoa kepada Allah, mudah-mudahan apabila bayi itu dewasa kelak, dia akan menjadi insan Islam yang penuh pengabdiannya kepada Tuhannya sehingga mendapat keredhaan-Nya.
 
Sebagaimana yang telah sama-sama maklum, bahawa masyarakat Melayu suka mengadakan upacara ritual yang diisi dengan nilai-nilai Islam. Upacara ritual yang dimaksudkan itu antara lain ialah kenduri kahwin, kenduri khitan, kenduri arwah, dan kenduri doa selamat. Selain itu, ada juga yang mengadakan kenduri sempena seorang wanita itu sedang mengandung. Dalam istilah masyarakat Melayu Jawa upacara ini dinamakan tingkepan.

Upacara kenduri tingkepan ini dilaksanakan semasa wanita tersebut hamil tujuh bulan. Salah satu acaranya ialah pembacaan surah-surah tertentu yang terdapat dalam Al-Quran. Contohnya surah Yusuf, surah Maryam, surah Luqman, surah Kaf dan su Arah Yassin. Tujuan pembacaan surah tersebut sebagai doa kepada Allah SWT agar anak yang masih berada dalam kandungan itu akan dapat meneladani sifat-sifat daripada kisah sebagaimana digambarkan dalam Al-Quran, apabila dewasa kelak.

Semasa menanggapi upacara ritual sebagaimana yang disebutkan di atas, penulis sengaja mengetepikan beberapa pandangan terhadap perkara tesebut. Suatu hal yang penting dalam acara tingkepan itu ialah unsur-unsur Islam yang berkenaan dengan pendidikan yang dilakukan, sebelum seseorang bayi itu dilahirkan.

Apakah tingkepan itu bidaah atau sunnah. Apakah perkara itu sahaih ataupun tidak, atau bagaimanakah hukumnya, tidak akan dipersoalkan pada artikel ini.

Begitu juga beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi oleh suami dan juga isteri semasa isteri tersebut sedang hamil. Contohnya mengata atau mengumpat orang lain. Mereka hendaklah selalu menjauhi diri daripada menyakiti dan menzalimi orang atau binatang, dan lain-lain lagi. Pantang larang dilakukan dengan maksud agar perbuatan atau kelakuan yang telah diperbuat orang tuanya itu tidak menimbulkan sebarang kesan negatif terhadap bayi yang dikandungnya. Begitulah adat dan tradisi ini, masih ada dan berlaku dalam masyarakat Melayu hingga kini.

Kalau kita mahu berfikir secara jujur, apakah salahnya kita selalu membaca Al-Quran sama ada semasa kita suka atau duka? Apakah keburukannya apabila kita selalu berdoa kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan senang ataupun susah? Bukankah perbuatan tersebut merupakan amalan yang terpuji? Apakah menjadi suatu kesalahan, apabila kita tidak mengata dan mengumpat orang lain? Bukankah perbuatan menyakiti dan menzalimi orang yang tidak berdosa itu suatu tegahan agama yang mesti kita jauhi? Bukankah memperdengarkan bacaan Al-Quran pada setiap waktu kepada bayi, merupakan kebiasaan yang baik? Bukankah harapan dan cita-cita ingin mempunyai anak yang mencintai Al-Quran itu merupakan impian bagi setiap ibu bapa?
Kewajiban ibu bapa, setelah anaknya selamat dilahirkan ialah memberikan nama yang baik, menurut pandangan Islam. Sebaik2 nama bagi bayi itu menggunakan nama-nama Allah (Asmaaul Husna) yang diawali dengan kata 'Abdul', seperti Abdullah, Abdul Razaq, Abdul Ghafur, Abdul Halim dan lain-lain. Nama-nama yang didahului dengan kata 'Muhammad' juga merupakan nama yang baik, misalnya Muhammadn Najmudin, Muhammad Nawawi, Muhammad Khairul Nizam dan sebagainya.

Kewajiban ibu bapa untuk memberikan nama kepada anaknya dengan nama yang baik telah pun dijelaskan di dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas dengan sanad yang dhaif yang bermaksud: 
~ Sesetengah daripada hak seorang anak kepada bapanya ialah membaguskan (mengajarkan) adab (akhlak yang baik)
dan memberikan sebutan nama yang baik kepadanya. ~

Berdasarkan hadis di atas dapat diambil kesimpulan bahawa setiap ibu bapa mestilah memberi didikan yang baik dan memberikan nama-nama yang terpuji di sisi agama untuk anak-anaknya. Elakkan drpd memberi nama kepada anak-anak dengan nama yang bercanggah dengan fahaman Islam.
Tahap seterusnya yang dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga apabila seseorang bayi itu sudah mulai dapat bercakap atau bertutur, ialah usahakanlah agar bayi tersebut sentiasa dilatih dan diajar bercakap atau menuturkan nama-nama Allah, nama rasul-Nya ataupun potongan bacaan-bacaan tasbih, tahmid, tahlil dan sebagainya. Cotohnya, apabila bayi telah dapat menyebut kata emak, ayah, makan dan lain-lain maka dalam masa yang sama, bayi tersebut hendaklah selalu dilatih dan dibiasakan mengucapkan atau menyebutkan kata Allah, Ya Rabbi, Subhanallah dan lain-lainnya.

Cara yang dinyatakan di atas, amat berkesan dalam usaha pembentukan keperibadian bercorak Islam kepada seseorang anak sehingga, ia nantinya akan terbiasa mengucapkan kata-kata yang baik dan menyebut nama Allah pada setiap waktu. Dengan cara ini juga akan dapat mengelakkkan seseorang kanak-kanak itu daripada mengucapkan perkataan-perkataan yang kurang sopan.

Pada masa ini banyak ibu yang bekerja. Oleh sebab itu, tugas menjaga anak bagi ibu-ibu yang bekerja diserahkan kepada pengasuh yang digaji. Jika para ibu ini memperolehi pengasuh yang kuat atau taat beragama, maka harapan untuk mendapatkan anak yang soleh memang cerah. Walaupun begitu, jika anak-anak tersebut dijaga oleh ibunya sendiri, kerana ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa, harapan untuk memperoleh anak yang soleh masih boleh dipersoalkan. Jika si ibu itu sendiri bukan daripada yang taat beragama maka harapan untuk memperoleh anak yang soleh juga sukar. Jadi untuk memperoleh anak yang soleh itu bukan bergantung kepada ibu, tetapi bergantung kepada taat atau kuat beragama ibu atau penjaganya.
Peringkat pendidikan selanjutnya ialah apabila si anak itu memasuki sekolah tadika. Biasanya umur mereka ini antara 5 hingga 6 tahun. Dalam usia semacam itu, kanak-kanak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapanya. Kanak2 ini juga menginginkan keadaan rumah tangga yang aman dan tenteram.

Pada waktu yang sama, mereka mulai mampu berfikir tentang kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mereka kepada mereka. Sekiranya mereka kurang mendapat kasih sayang daripada orang tuanya, hal tersebut akan menyebabkan suatu tekanan perasaan kepada kanak-kanak tersebut. Jika hal tersebut berterusan, biasanya akan menimbulkan kesan-kesan negatif pada dirinya. Oleh hal yang demikian akan timbullah perasaan kurang cinta terhadap ibunya, tidak mahu mendengar kata, degil dan sifat-sifat negatif lain. Kesemua sikap yang diterangkan di atas berpangkal daripada kecuaian ibu bapa sendiri yang kurang memberi perhatian kepada anak-anaknya.

Selain memberi perhatian dan kasih sayang, kanak-kanak yang berumur di antara 5 hingga 6 tahun hendaklah juga diajarkan doa-doa pendek yang mudah dihafal dan diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Di antara doa yang dimaksudkan itu ialah doa sebelum makan, doa setelah makan, doa sebelum tidur dan sebagainya. Setiap ibu bapa hendaklah mengelakkan sifat jemu dan bosan semasa melatih anak mereka untuk membiasakan dengan amalan-amalan seperti di atas.

Setelah kanak-kanak tersebut berumur 7 tahun, si anak perlu diajar bacaan-bacaan solat dan didedahkan dengan tatacara mengamalkannya. Sikap disiplin dalam menjaga waktu solat mestilah ditanamkan dalam jiwa kanak-kanak itu sejak kanak itu berumur 7 tahun. Apabila sudah menjadi kebiasaan, maka mereka tidak akan merasa keberatan untuk menjalankan kewajiban bersolat.

Apabila umurnya meningkat ke-9 tahu ibu bapa mestilah bersikap tegas terhadapnya jika ia belum betul-betul dapat memastika solatnya. Jika ia masih lalai untuk bersolat maka ibu bapa bolehlah mencubit atau memukul yang sekiranya tidak akan menimbulkan sebarang kecederaan pada dirinya.

Demikianlah huraian terhadap pendidikan anak-anak yang bermula daripada saat kelahirannya hingga anak tersebut menjelang usia baligh secara ringkas dan jelas.
.. semoga bermanfaat ..

No comments:

Post a Comment