Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.
Anas
bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan
penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya:“Sesungguhnya
ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari
yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis
riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Aidiladha
juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika
umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di
dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu,
Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar
semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu,
kambing dan biri-biri.
Ibadah korban dilakukan sempena
memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih
anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH.
Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka
ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim
sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan
oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
"Maka ketika
anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha
bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku!
Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu.
Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang
diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk
orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah
bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan
anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI
sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan
perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim!
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.
Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha
mengerjakan kebaikan.Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang
nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang
besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan
orang-orang yang datang terkemudian." – Surah al-Soffaat: 101-108.
Rentetan
dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha
maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu
mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti
orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan
lain-lain lagi.
KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN
Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan
KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu)
sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu
ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa
menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia
tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan
berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan
yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan
menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Daging dan darah
binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan
takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu
bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat
petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang
sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." –
Surah al-Haj: 36-37.
Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:
1)
Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat
dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang
bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan
seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan
daging-daging korban.
2) Ibadah korban berupaya membentuk
insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang
dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka
beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.
4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.
5)
Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah
tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:
1. Wajib bagi yang mampu.
Ini
merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi,
al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin
Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah
seperti berikut:
"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." – Surah al-Kautsar: 2.
Ayat
ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan
mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan
dengan kata penghubung wau (و) bermaksud 'dan' yang mana ia menunjukkan
ada persamaan hukum.
Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:
صَلَّى
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ
خَطَبَ ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ: مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ
فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ
بِاسْمِ اللَّهِ
Maksudnya:"Nabi s.a.w solat pada hari
al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang)
korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari
raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa
yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH." – Hadis
riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah
Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan
sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib.
Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar
penyembelihan diulangi.
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya:"Sesiapa
yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka
jangan dekati tempat solat kami." – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di
dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114
Hadis ini berupa
ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada
hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman
berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti
mengenai kewajipannya.
Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:
كُنَّا
وُقُوفًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ
فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ
فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ. هَلْ تَدْرُونَ مَا
الْعَتِيرَةُ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ.
Maksudnya:"Kami
bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai
manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun
(mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian
apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang
disembelih pada bulan Rejab)." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam
kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.
Hadis ini jelas
membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua
umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah
telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan,
kewajipannya masih berterusan hingga sekarang.
2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.
Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:
Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya:"Jika
masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu
semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun
dari rambut dan kukunya." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim,
hadis no: 1977.
Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban
tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda 'dan salah seorang antara
kamu semua yang ingin'. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda
memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau
sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi
pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan
kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”
Jabir r.a berkata:
شَهِدْتُ
مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَضْحَى
بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِيَ
بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بِيَدِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّي
وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي
Maksudnya:"Aku
menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah
lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu
dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan
tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama
ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang
belum meyembelih." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud,
hadis no: 2427.
Selain itu, kata-kata baginda 'ini dariku
dan dari umatku yang belum menyembelih' diungkapkan secara lafaz mutlak
dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan
kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang
masih belum melakukan korban.
Inilah dalil menunjukkan
ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang
meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda
mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.
Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:
مَا
أَدْرَكْتُ أَبَا بَكْرٍ أَوْ رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ كَانَا لاَ
يُضَحِّيَانِ – فِي بَعْضِ حَدِيْثِهِمْ – كَرَاهِيَّةَ أَنْ يُقْتَدَى
بِهِمَا
Maksudnya:"Aku mendapati Abu Bakar atau melihat
Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian
hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian." – Hadis
riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh
al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis
no: 1139.
Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.
Sebelum
membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami
bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah
berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan
itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi
mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu
tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh
mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Namun,
kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan
seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:
"Aku
telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang
mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan
kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat,
pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau
tidak…Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai
nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa
mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar
dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi
s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak
ragu.”Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana
menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya." – Rujuk
Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh
Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.
Oleh itu,
penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana
mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib
apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan
kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w
Sabda Rasulullah s.a.w:
فَإِنْ يُطِيعُوا أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ يَرْتَشُدُوا
Maksudnya:"Sekiranya
mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat
petunjuk." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681
oleh Insyirah Qalbi Full 16hb November 2010; 8.59 pagi
No comments:
Post a Comment