Monday, 28 November 2011

HADIRNYA KESEDIHAN

Kesedihan..
engkau sering datang tanpa diundang
engkau menjelang tanpa ungkapan salam
engkau menerpa masuk tanpa dijemput
engkau hinggap lekat di berbagai sudut
dengan wajah yang menyimbah resah..
dengan lidah yang menempah gundah..
dengan cara yang membawa lara..
dengan bahasa yang menjelma duka..
bagimu rupa yang bermacam warna..
hingga ku lupa membezakan nama..
kesedihan..
pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu
wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam
aku terdiam dan terbungkam,
siang bagaikan malam..
cahaya bagaikan kelam..
kau cuba palutkan rasa takut dan kalut
sehingga nafas menjadi semput dan susut
lantas kau rampas ceria hidup yang dihirup
kesedihan..
tika ini,telah lama ku mengenalimu
apa tidak,sering kau lalu dan bertamu
entah berapa kian kali kau datang ke sini
entah berapa waktu ku kau ganggu
entah berapa medan dah kau ku tentang..
entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang
datang dan pulangmu sama sahaja
hadir dan pergi tiada bedanya..
kesedihan! Sejak dulu apa yang ku tahu..
setiap kali ku lihat rupa sayumu,
ku panggil syahdu nama Tuhanku
setiap kali ku dengar telapak kakimu bergerak,
ku seru Tuhanku dengan sebak..
setiap kali ku rasa kau mula melangkah,
jiwa ku pun pasrah, pada Allah ku berserah..
kesedihan! Ku tahu..
kau kan terus datang, sukar dihalang..
kau kan terus bertamu, sukar dijemu..
namun, apabila kita berjumpa..
kau kan ku hambat dengan airmata munajat
kau kan ku lontar dengan esakan istighfar
kau kan ku siaga dengan tangisan doa
kau kan ku gembur dengan rasa syukur
kesedihan.. hadirlah jika itu yang kau mahu
moga jelma mu selalu membangun ku pilu di malam syahdu
untukku basahi pipi dengan meratapi ..
‘’ Ya Rabbi.. Kasihi Hamba MU ini…’’
( karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin )

No comments:

Post a Comment