***************************************************
***************************************************
"Sayang,
Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat
kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian
kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya
dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia
memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke
dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.
Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya,
mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa
puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini,
anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera
bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia
kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri.
Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun
yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah
adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang
menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya
benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji
kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif,
teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan
Aliyah.
" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika
itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu
memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir
ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat
subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti
kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat
hatinya.
" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi,
Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup
suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah
terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita
yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama
Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya.
Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia
menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan
perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur.
Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang
dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman
dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat
dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara
menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan
seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak
sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa,
nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang
berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar
betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia
bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam
tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina
mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa
dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama
membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak
membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina
bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk
menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan
mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu
juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah.
Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid
itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan
dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum
dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta
anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis
kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah
kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina
memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan
tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba
mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung
Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya.
Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya
layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon
madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox
hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan
isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis
sehebatnya untuk bersama Abang.
"
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
---------------------------------------------------------------
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam
sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi
jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang
Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan
Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan
penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia
memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-
bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang.
Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa.
Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di
akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah
sayangkan Abang...
2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang
pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan
Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak
tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah
masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran
western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu,
anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan
la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...
3. Aliyah ada
mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia
jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang
lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang
untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun
kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...
Abang
yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu
persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama
1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik
memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang
yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami.
Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke
Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang
ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa
nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah
sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum
cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang
setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg
merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah
bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti
canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.
No comments:
Post a Comment