slm shbt2.. jemput baca cerpen yg sngt menyentuh hati ini..sama2 kita mengambil ibrah darinya,, ^_^
Alkisahnya
bermula…. Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun
lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu.
Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang
diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar
berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung.
Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan
tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah. Aku hanya
seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya
apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga
menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah
ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat
dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang
telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut
tidak bertulang. Sama seperti manusia lain. Aku bukan seperti bondanya
Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah
Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia
menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan
Islam.
Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi
Tuhan, jalanku kelak juga sama… Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi
aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara
ini. Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji
wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila
melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya
tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan
membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku
belum mampu memperkenalkan insan itu.
Sehingga kini, aku tetap
setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab
dengan penuh tatasusila. ”Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?”
Aku menjawab tenang.. “Warna putih, bersih…” ”Alhamdulillah, ibu akan
usahakan dalam tempoh terdekat.” ”Ibu, 4 meter sudah cukup untuk
sepasang jubah. Jangan berlebihan.” Ibu angguk perlahan. Beberapa hari
ini, aku menyelak satu per satu… helaian demi helaian naskhah yang
begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama… Sukar
sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis
semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan
tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut.
Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin
banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku
nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku
akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang
mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang… As-Syifa’ aku adalah
al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang
memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan
tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului. ”Kak Insyirah,
siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?” Aku tersenyum,
mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu
merahsiakan tentang perkara itu.
Cukup mereka membuat penilaian
sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan
keluarga. ”Insya Allah, ‘dia’ tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak
dengan Allah. Itu yang paling utama.” Berita itu juga buat beberapa
orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang
perlu diraikan. Aku tersenyum lagi. ”Jangan lupa jemput ana di hari
menikahnya, jangan lupa!” Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa
yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka
mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan ‘dia’
yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku
apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa’ ku
al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku,
agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari
itu. ”Bila enti menikah?” Aku tiada jawapan khusus. ”Insya Allah, tiba
waktunya nanti enti akan tahu…” Aku masih menyimpan tarikh keramat itu,
bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila
tarikhnya. ”Jemput ana tau!” Khalilah tersenyum megah. ”Kalau enti tak
datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! ” Itu saja
pesanku.
Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan
pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus
berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati. ”Insya Allah, kalian
PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti…” Rahsia ku adalah rahsia
Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya
termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah
dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku
sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi
kepada ibu… ”Usah berlebihan ya…” Ibu angguk perlahan dan terus berlalu,
hilang dari pandangan mata. ”Insyirah, jom makan!” Aku tersenyum lagi…
Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman. ”Tafaddal, ana
puasa.” Sahabiah juga semakin galak mengusik. ”Wah, Insyirah diet ya.
Maklumlah hari bahagia dah dekat… Tarikhnya tak tetap lagi ke?” ”Bukan
diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi.”
Sehingga
kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat,
bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh
debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus
mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu
sahaja…………. ……… ….. ………… . ”innalillahi wainna ilaihi rajiun…”
”Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. “ ”Ya Allah, tenangnya… “ ”Moga
Allah memberkatinya. …” Allah, itu suara sahabat-sahabat ku,
teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan
setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis
walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.Akhirnya, mereka ketahui
sosok ‘dia’ yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali
sosok ‘dia’ yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka
sama-sama mengambil ‘ibrah dari sosok ‘dia’ yang mengkhitbah ku. Dalam
sedar tidak sedar… Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan
ku… Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam
sujud, dalam rafa’nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi.
Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan
yang tahu. ”Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan ‘dia’
yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu
berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan
aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau
redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai
sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui…”
Akhirnya,
Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian… ”Insyirah
bertunang dengan siapa, mak cik?” Ibu tenang menjawab… “Dengan kematian
wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang
sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor,
Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh.”
”Allahuakbar. ..” Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu
ditahan. ”Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama…” Ibu angguk,
tersenyum lembut… “Ini nak, bukunya.” Senaskah buku bertukar tangan,
karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk ‘Malam Pertama di Alam
Kubur’. ”Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis… Khalilah tak tahu
mak cik.” ”Dan sejak dari hari ‘khitbah’ tersebut, selalu Insyirah mahu
berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..
.”Khalilah masih kaku.
Tiada suara yang terlontar. Matanya basah
menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.”Satu cincin
ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini
aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan
sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku
tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim,
baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila
ALLAH meminta. Dan ibu mengambil ‘ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim)
malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang
ibu.”
sharing dari Insyirah Qalbi Full (11hb Jun 2010; 6.06 ptg)
No comments:
Post a Comment