Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Kita selalu diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan kehidupan kerana dunia ini hanya perhiasan yang amat Indah sehingga penghuninya menjadi leka dan lalai. Sebagai contoh : Kita alpa dengan kehidupan ini apabila seronok hidup bermewah-mewah dengan kekayaan,pangkat, kedudukan dan kuasa.
Tiada apa yang perlu dibanggakan di dunia ini kerana ia ibarat penjara kepada orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir. Ketika di dunia ini, orang mukmin diuji dengan pelbagai kesukaran, kesusahan dan kesempitan. Ini kerana jalan untuk menuju ke Syurga Allah s.w.t. itu bukannya mudah.
Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan boleh hilang dengan empat sebab : Yang BERHARGA ITU ADALAH AKAL, AGAMA, MALU DAN AMAL SOLEH.
AKAL boleh hilang disebabkan oleh marah. AGAMA boleh hilang disebabkan dengki. MALU boleh hilang disebabkan tamak dan AMAL SOLEH boleh terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang.
LIMA PERKARA YANG DICINTAI DAN LIMA PERKARA YANG DILUPAI :
Akan datang pada suatu masa di mana ketika itu mereka mencintai lima perkara :
1) Mencintai dunia lupa akhirat.
2) Mencintai kehidupan lupa kematian.
3) Cinta pada Istana dan lupa pada kuburan.
4) Cinta akan harta dan lupa pada perhitungan di Akhirat.
5) Cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah s.w.t.
Ada dua perkara yang tiada sesuatu yang lebih baik daripada keduanya iaitu BERIMAN KEPADA ALLAH dan MEMBERI MANFAAT KEPADA MUSLIMIN. Sementara itu ada dua perkara yang tiada sesuatu lebih buruk daripada keduanya iaitu MENSYIRIKKAN ALLAH dan MENYAKITI KAUM MUSLIMIN.
Usman Al- Affan berkata : “Perkara yang sia-sia itu ada sepuluh perkara :
1) Orang alim yang tidak dapat dijadikan tempat bertanya.
2) Ilmu yang tidak diamalkan.
3) Pendapat benar yang tidak dapat diterima.
4) Senjata yang tidak dipakai.
5) Masjid yang tidak digunakan untuk tempat bersolat.
6) Al-Quran yang tidak dibaca.
7) Harta yang tidak disedekahkan.
8) Kuda yang tidak ditunggangi.
9) Pengetahuan tentang zuhud yang ada pada hati orang yang cintakan dunia.
10)Umur panjang yang tidak dipakai untuk perjalanan menuju alam akhirat.
Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam firmannya : “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-banggaan,. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”. ( Qs Al – Hadid ayat 20).
Ini bukanlah bermakna kita perlu meninggalkan keseronokan dan kenikmatan dunia 100%, sebaliknya seorang muslim perlu berusaha meninggikan taraf hidupnya agar tidak dipandang rendah oleh orang bukan Islam. Selain itu juga, ia adalah sebagai pelengkap keperluan hidup. Begitu juga, fitrah manusia yang sentiasa inginkan keselesaan. Namun, perlulah mengikut lunas-lunas yang betul tanpa menganiaya makhluk lain dan mengenepikan tamggungjawab terhadap Allah s.w.t. Maka dengan sebab itu, para Muslim disarankan supaya menyeimbangkan pencarian kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan Akhirat.
Wassalam.

No comments:
Post a Comment