“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh
pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan
pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan
setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan
sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan
ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat
terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah?
Di mana silap saya, ustaz?”
Sepucuk emel dihantar kepada saya.
Beristighfar dan mengurut dada.
Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
Malah
di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam
trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan
untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang
disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang
orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama
‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?MEMBELAKANGKAN ILMU
Penyakit
besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu.
Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan
yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa
ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan
ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?
Keadaan
ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang
mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran
dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang
manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.
Mengira
huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari
petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda
ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
Ia
mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di
dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
“Ada
sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa
Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan
memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada
sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa
Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang
melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian
berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya
adalah prasangka manusia yang tidak berasas”
Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
Istikharah
itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu
memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada
pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal
dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan
kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada
meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam :
Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila
sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah
dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain
daripada Solat yang Fardhu(yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan
niat Istikharah).
Kemudian hendaklah
dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan
aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan
kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan
aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula
tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara
yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini –
harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana
Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama,
kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia
untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam
pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah
buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan
datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku
daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha
dengannya.
ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
“Tidak
akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta
bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam
keputusannya”
Biar pun para Ulama berselisih
pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan
Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh
seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai
kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat
itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di
depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik.
Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian
dengan berusaha.
Setelah beristikharah, namun
hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk
mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati
dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan
beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai
integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh
dibuat.
Titik pentingnya ialah, keputusan
hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan
kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui
petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku
apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat
serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah
oleh tipu helah Syaitan.
Tambahan pula dalam
keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan
sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada
Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong
kecenderungan dirinya sendiri.
Berhentilah mencari mimpi.
Berhentilah menunggu petanda.
Beristikharah
memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang
membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa
keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di
kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji
kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk
mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang
dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah)
serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).
Pertimbangkanlah…
seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu
mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil
yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan.
“Sebahagian
(daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan
diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi
(yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka
sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan
itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula
menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN
1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam
kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang
mengundang bahaya.
2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkankepada Istikharah.
3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
5.
Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada
Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan
yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah
dan kebaikan daripada Allah.
13.
Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di
dalam ruang lingkupkeharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai
mekanisme jodoh.
14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
*Artikel asal bertajuk "Fitnah Petunjuk Istikharah" dari www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment