Thursday, 3 November 2011

KAKAK,TANGANMU GEMENTAR..

Saya dilahirkan disebuah perkampungan yang terletak dipergunungan. Hidup ini sememangnya sukar. Demi meneruskan kehidupan keluarga, setiap hari, ibu dan ayah saya, berusaha membajak tanah merah yang kering untuk menyemai tanaman. Setiap hari jugalah belakang ibu dan ayah sentiasa menghadap langit.

Saya mempunyai seorang adik lelaki berumur tiga tahun lebih muda dari saya. Saya ingin benar memiliki sehelai saputangan sebagaimana gadis-gadis sebaya saya. Satu hari, saya mengambil 50 sen dari laci ayah. Ayah mengetahui kehilangan wangnya.

Ayah benar-benar marah. Dia memaksa saya dan adik lelaki saya berlutut menghadap dinding. Dengan rotan bambu di tangan, ayah bertanya, “Siapa yang mencuri wang itu?”. Saya kelu dan terkedu, terlalu takut dan gementar untuk bersuara. Saya dan adik saya tidak berani mengaku dan memang pun adik saya tidak tahu menahu mengenai kehilangan itu. “Baik, kalau tidak ada yang mengaku kamu berdua akan saya pukul!” Ayah mengangkat rotan bambu.

Tiba-tiba adik saya mencapai tangan ayah dan berkata, “Ayah, sayalah yang mencuri wang ayah!” Rotan bambu yang panjang hinggap di belakang adik berulang-kali. Ayah benar-benar marah. Dia terus merotan adik sehingga kepenatan. Kemudia ayah duduk di atas katil kami yang keras bagaikan batu. Ayah terus memarahi adik.

“Kamu sudah belajar mencuri di rumah anda sendiri. Apa lagi perkara memalukan yang akan anda lakukan dimasa-masa akan datang? Kamu seharusnya dipukul sampai mati, kamu pencuri tak tahu malu!” Ayah begitu marah.

Malam itu, ibu dan saya memeluk adik. Tubuh badannya yang kecil itu dipenuhi luka-luka akibat pukulan dari ayah namun adik tidak pun menitiskan setitis pun air mata. Adik benar-benar tabah.

Tengah malam itu, saya tak dapat menahan emosi, saya berteriak kuat. Cukup kuat. Adik meletakkan telapak tangannya yang kecil dan mungil itu di mulut saya dan berkata, “Kak, jangan menangis lagi. Segalanya sudah berlaku”. Saya benci dengan diri ini. Benci kerana tidak mempunyai cukup keberanian untuk mengaku kesalahan dihadapan ayah.

Tahun itu, adik saya berumur lapan tahun dan saya sebelas tahun.

Tahun berganti tahun, namun kejadian itu terasa baru kelmarin berlaku. Saya tidak pernah dan tidak pernah mahu melupakan bagaimana tindakan adik kecil saya mahu melindungi saya.

Ketika adik ditahun akhir persekolahan menengahnya, dia diterima untuk melanjutkan persekolahan menengah atasnya di salah sebuah sekolah di ibukota. Dalam masa yang sama, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran disebuah universiti tempatan. Malam itu, saya nampak ayah gelisah. Dia mundar-mandir di halaman. Ayah merokok luar biasa sekali. Lepas satu, dia nyalakan lagi rokok yang lain.

Saya mendengar suara ayah berbicara dengan ibu, “Kedua-dua anak kita mendapat keputusan persekolahan yang baik, amat baik”. Ibu tak dapat menahan perasaan. Dia menyeka air matanya dan bersuara, “Untuk apa, tiada gunanya. Bagaimana mungkin kita dapat memenuhi perbelanjaan persekolahan kedua-dua mereka?” Ketika itu adik keluar, kemudian dia berdiri benar-benar di hadapan ayah dan berkata, “Ayah, saya tak mahu meneruskan persekolahan saya lagi, saya sudah membaca banyak buku”.

Ayah menghayun tangannya dan menampar tepat ke muka adik. “Kenapa semangatmu lemah sekali? katanya. Walaupun saya terpaksa meminta sedekah di jalanan, saya pasti akan menghantar kamu ke sekolah sehingga kamu tamat pengajian.”

Ayah memang prihatin. Dia mempunyai semangat yang kental. Walaupun miskin dia tetap berusaha. Dia mahu melihat kejayaan anaknya yang dua orang ini. Tidak lama kemudian ayah mula mengetuk setiap pintu rumah jiran-jiran yang ada di desa itu. Saya tahu ayah malu berbuat demikian tetapi demi anak-anaknya dia tidak mementingkan diri. Dia membuang jauh-jauh rasa malu dari mengheret emosinya tanpa daya.

Saya mulai mengoles perlahan muka adik yang bengkak dan memberitahu dia, “Lelaki harus meneruskan pelajarannya; jika tidak, dia tidak pernah akan dapat mengatasi kemiskinan yang telah menjadi pengalaman hidup kita selama ini.” Pada saya, saya berkeputusan untuk tidak meneruskan pengajian di universiti.


Tiada siapa yang tahu apa berlaku seterusnya. Pada keesokannya, sebelum fajar menyingsing, adik meninggalkan rumah. Dia hanya membawa beberapa pasang baju yang sudah agak lusuh dan sedikit bijirin buat pengelas perut. Saya tahu adik hanya mempunyai baju-baju itu sahaja. Tiada yang lain.

Sebelum pergi, adik sempat manyusup masuk dan meletakkan sekeping nota di atas bantal saya, “Kak, mendapat tawaran ke universiti tidak senang. Saya akan mencari kerja dan mengirim wang untuk pengajian kakak nanti.” Saya mendekap nota tersebut sementara duduk di birai katil. Saya tidak mampu menahan emosi. Saya menangis sehingga saya hampir kehilangan suara.

Tahun itu, adik berumur tujuh belas dan saya dua puluh tahun.

Dengan wang yang ayah pinjam dari seluruh jiran di desa itu, beserta gaji yang adik peroleh dengan mengangkat simen di salah sebuah kawasan pembinaan, akhirnya saya berjaya meneruskan pengajian saya ketahun ketiga di universiti.

Satu hari sementara saya mengulang-kaji dan menaalah pelajaran saya di dalam bilik, seorang teman sebilik memberitahu saya, “Ada orang kampong di luar mahu berjumpa dengan mu.” Kenapa ada orang kampong mahu berjumpa dengan saya? Saya beredar keluar, dari jauh saya melihat adik. Seluruh tubuh badannya dikotori dengan abu, habuk, simen dan pasir.

Kemudian saya bertanya kepadanya, “Kenapa adik tidak memberitahu rakan sebilik saya bahawa kamu adalah adik saya.” Sambil tersenyum adik menjawab, “Lihatlah penampilan saya. Apa fikiran mereka jika mereka mengetahui bahawa saya adikmu? Tidakkah mereka mentertawakan kakak nanti?” Saya benar-benar tersentuh. Air jernih mula memenuhi kelopak mata saya. Saya membuang kekotoran dan habuk dari badan adik. Dengan perasaan sebak, saya berkata kepadanya, “Saya tidak peduli apa orang lain kata! Apa pun keadaan penampilan kamu, kamu adalah adik saya!”

Dari poket bajunya dia mengeluarkan klip rambut yang berbentuk rama-rama. Indah sekali. Dia memasangkannya pada rambut saya lalu berkata, “Saya melihat semua gadis-gadis di bandar memakainya. Saya fikir kamu juga sukakannya lalu saya beli.” Emosi saya sayu dan pilu. Bukan kerana sedih tetapi tersentuh. Cukup tersentuh. Saya memeluk adik yang amat saya kasihi. Saya menangis.

Tahun itu adik berumur dua puluh tahun dan saya dua puluh tiga.

Buat pertama kali, saya membawa teman lelaki saya ke rumah. Saya perasaan tingkap kaca yang pecah sudah dibaiki. Rumah itu walaupun agak sederhana tetapi cukup bersih. Seperti segala-galanya baru sahaja digosok. Selepas teman lelaki saya pulang, ibarat seorang gadis kecil, saya menari-nari amat gembira dihadapan ibu, “Mama, saya yakin mama sudah terlalu penat dan letih membersihkan rumah ini!’ Tetapi dengan tersenyum ibu menjawab, “Adikmulah yang balik lebih awal dan membersihkan rumah ini. Tidakkah kamu nampak luka ditangannya kerana membaiki tingkap yang pecah itu.” Saya beredar ke bilik adik. Melihat kepada wajahnya yang kecil dan kurus itu, seolah-olah saya merasakan ribuan jarum sedang menusuk ke hati ini.

Saya merawat luka adik, sapukan ubat dan balut lukanya. “Adakah itu menyakitkan mu?” Saya cuba menyelami kesakitan adik. Tetapi dengan lembut adik menjawab, “Tidak. Kamu tahu, kalau di tempat pembinaan, batu-batu akan terus berjatuhan ke atas kaki saya dan semuanya itu tidak pernah membantutkan keinginan saya untuk bekerja.” Sementara dia berkata-kata, dia berhenti seketika. Saya menatap wajah adik Saya pilu untuk ke sekian kalinya. Air mata mengalir membasahi pipi ini.

Tahun itu adik berumur dua puluh tiga dan saya dua puluh enam tahun.

Saya berkhawin dengan teman lelaki saya, dan kami tinggal di kota. Suami saya menyuarakan keinginannya agar ibu dan ayah tinggal bersama-sama dengan kami di kota. Tetapi mereka enggan dengan alasan, sekali mereka meninggalkan kampong, mereka tidak akan tahu apa mereka perlu lakukan.

Adik setuju dengan kedua ibu dan ayah. Katanya, “Kak, kamu hanya perlu jaga bapa dan mama mertua mu. Jangan risau, ibu beserta ayah akan saya jaga sebaik mungkin di desa ini.”
Suami saya menjadi pengarah kepada kilangnya sendiri. Saya beserta suami merayu agar adik menerima pelawaan kami untuk menjadi pengurus kepada salah satu bahagian dikilang itu. Dia enggan menerima jawatan pengurus tersebut. Dia Cuma menerima jawatan sebagai juruteknik sahaja sebagai permulaan.

Satu hari, semantara adik sedang berada di atas tangga untuk membaiki kabel, dia mengalami renjatan elektrik kemudian terjatuh. Dia dihantar ke hospital.

Saya dan suami mengunjunginya di hospital. Kakinya patah dan buat semantara waktu kaki itu ditopang menggunakan logam. Saya menyuarakan kekesalan, “Mengapa kamu menolak tawaran kerja sebagai pengurus?”

“Pengurus tidak melakukan kerja-kerja merbahaya seperti itu. Sekarang kamu menderita patah kaki. Kenapa kamu tidak sahaja dengar kata-kata kami?”

Dengan raut wajah yang serius, adik cuba mempertahankan keputusannya, “Suami mu baru sahaja menjadi pengarah, dan saya tidak terpelajar dan menjadi pengurus pula, apakah nanti anggapan orang?” Saya lihat mata suami saya dipenuhi dengan air mata, kemudian saya meneruskan, “Tetapi, kamu tidak ada pelajaran kerana saya.” Adik memang teguh. Teguh dengan pendiriannya. Segala-galanya ada alasan yang kukuh.

“Kenapa kakak mempersoalkan perkara yang sudah berlalu?” Adik menarik dan mengganggam tangan saya. Waktu itu adik berumur dua puluh enam tahun dan saya dua puluh sembilan.

Adik berkhawin sewaktu dia berumur tiga puluh tahun dengan seorang anak perempuan petani di desa kami. Majlis itu sederhana tetapi cukup meriah. Sementara majlis perkhawinan sedang berlangsung, pengacara mengajukan satu pertanyaan kepada pengantin lelaki, “Diantara hadirin yang ada di sini, siapakah yang amat anda sanjungi dan kasihi?”

Tanpa berfikir panjang adik menjawab, “Kakak saya.” Kemudian dia meneruskannya dengan satu kisah. Saya sendiri tidak mengingati akan cerita itu.

“Ketika dibangku sekolah rendah, saya dan kakak akan berjalan jauh selama dua jam dari rumah ke sekolah setiap hari. Satu hari, saya kehilangan sarung tangan. Kakak memberikan kepada saya satu dari pada sarung tangannya.

Kakak memakai hanya satu sarung tangan sahaja. Cuaca cukup sejuk. Kami berjalan jauh untuk sampai ke rumah. Apabila sampai di rumah, tangan kakak gementar kesejukan sehingga memegang penyepit makanan pun dia tidak dapat. Mulai saat itu, saya berjanji di hati ini, selagi saya hidup, saya akan menjaga kakak saya dan berbuat baik sentiasa kepadanya”.

Ruang majlis dipenuhi keheningan. Senyap sekali. Semua jemputan memandang kepada saya. Hati ini meruntun. Pilu. Sayu, dan tersentuh. Saya rasa inilah satu-satunya pengalaman yang paling sukar bagi saya untuk bersuara, “Dalam segenap hidup saya, saya ingin mengucapkan sesungguhnya ucapan terima kasih kepada adik yang saya amat kasihi,” dan di majlis yang indah dan bersejarah, di hadapan para temu, air mata mengalir sekali lagi di pipi ini.


Dalam setiap saat kehidupan anda, hargai dan jagai mereka yang anda kasihi dengan segenap hati, dan dengan segenap akal budi, dan dengan segenap khudrat anda. Mungkin anda berfikir bahawa apa yang pernah anda lakukan hanya sedikit sahaja, tetapi bagi seseorang, itu mungkin amat bererti bagi mereka.


No comments:

Post a Comment