Thursday, 22 September 2011

HAK DAN KEWAJIBAN IBU BAPA TERHADAP ANAK

HAK DAN KEWAJIBAN IBU BAPA TERHADAP ANAK

Al-Quran merupakan pedoman hidup untuk seluruh insan. Melalui surah Luqman ayat 13 hingga 19, Allah SWT telah menjelaskan dan memberikan petunjuk kepada setiap ibu bapa atau penjaga tentang kewajiban dan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka. Untuk mendapat penjelasan yang lebih, berikut ini diturunkan beberapa terjemahan ayat-ayat al-Quran.

1. Firman Allah Taala dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:

" Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya seraya menasihatinya, Hai anakku ! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah itu merupakan kesalahan (dosa) yang besar.

Ayat di atas menjelaskan tentang kewajiban ibu bapa atau penjaga terhadap anak-anaknya. Mereka dikehendaki supaya mengetahui dan mengajarkan hal-hal yang berkait dengan soal ketuhanan, aliran Monotheisme, ertinya suatu fahaman yang mengakui hanya ada satu Tuhan yang lebih dikenal di dalam Islam sebagai ajaran "Tauhid".

Memanglah sudah semestinya jika manusia yang sangat daif ini wajib mengakui Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang mempunyai kuasa prima, causa prima, dan zat yang wajibul wujud. Dengan demikian disunatkan untuk mengumandangkan azan dan iqamah bagi bayi yang baru lahir di sebelah telinganya.

Pada terjemahan ayat di atas juga diterangkan tentang amaran dan balasan setimpal yang akan diterima bagi mereka yang menyekutukan atau mensyirikkan Allah SWT.
2. Surah Luqman ayat 14, bermaksud:

~ Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada ibu bapanya, ibunya yang mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan memisahkan dari susuan, setelah berumur dua tahun. (Untuk itu) bersyukurlah kepada-Ku dan ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali ~

Berdasarkan maksud ayat di atas, dapatlah difahami bahawa manusia mesti bersyukur kepada Allah SWT dan ibu bapa mereka. Mafhumnya, setiap ibu bapa wajib memberi pelajaran dan pendidiikan kepada anak-anak mereka agar mereka sentiasa bersyukur kepada Allah dan juga orang tuanya dengan erti syukur yang sebenar-benarnya.

3. Ayat 17 (Surah Luqman), maksudnya:

~ Hai anakku! Dirikan solat (sembahyang), suruhlah mereka mengerjakan kebaikan, cegahlah mereka daripada berbuat kemungkaran dan bersabarlah terhadap sesuatu musibah yang menimpa engkau. Sesungguhnya (sikap) yang demikian itu, termasuk perintah yang bersungguh-sungguh. ~

Pengajaran yang dapat diambil dari maksud ayat di atas ialah setiap ibu bapa atau penjaga mesti memerintahkan, memastikan dan mengajarkan tatacara solat kepada anak-anaknya. Pada maksud ayat tersebut juga dapat dilihat betapa pentingnya peranan ibu bapa atau penjaga dalam usaha membentuk keperibadian anaknya agar menjadi hamba yang sentiasa berdisiplin dalam melaksanakan solat.

Ayat (maksud) tersebut juga menjelaskan keutamaan sifat sabar, dan kewajiban amar ma'ruf dan nahi munkar.
4. Surah Luqman ayat 18 (maksudnya)

~ Janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia kerana kesombongan dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh; Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri. ~

Penjelasan maksud ayat di atas adalah seperti berikut:

Diwajibkan bagi setiap ibu bapa atau penjaga agar mereka selalu memberi nasihat kepada anaknya supaya mereka menjauhi sifat sombong, bongkak, takbur, dan sifat-sifat yang seumpamanya. Hal-hal tersebut mesti dijauhi kerana Allah SWT amat membenci dan melaknat orang-orang yang bersikap demikian. Sesungguhnya
sifat takbur itu hanya layak dan sesuai untuk Allah SWT semata-mata.

5. Ayat 19 (Surah Luqman) bermaksud:

~ Dan sederhanakanlah ketika berjalan dan lembutkanlah suara engkau; Sesungguhnya, suaranya yang amat buruk adalah suara himar.

Penjelasannya: Dalam maksud ayat di atas mengandungi pengajaran Wasatiah, iaitu satu kesederhanaan dan bagaimana cara yang perlu dilakukan oleh seseorang
semasa berjalan dan bersuara. Islam amat menekankan sifat wasatiah ini di dalam
berbagai-bagai aspek kehidupan.

Cabutan daripada beberapa ayat surah Luqman iaitu ayat 13, 14, 17, 18 dan 19 itu merupakan hikmah-hikmah yang mesti difahami oleh semua ibu bapa yang mempunyai harapan dan cita-cita agar keperibadian anak-anaknya dapat menceminkan perangai mulia dan terpuji di sisi agama Allah SWT atau akhlaqul karimah.

..*.. semoga bermanfaat ..*..

No comments:

Post a Comment