Tuesday, 27 September 2011

~ Sebuah Pengabadian ~

Hujung jemariku pernah menyentuh seuntai daun
yang jatuh di pelataran nisan tanpa nama; jasadku terbujur kaku.
Daun persegi lima yang menyerupai tangan
dengan jejari pucat dan bertulang rapuh
terkadang terinjak oleh kaki-kaki pasangan yang sedang bercinta
atau kaki-kaki yang terpelehok kerana duka.

Di taman ini, musim meruntuhkan segenap sayap bumi
namun tidak mengusir keindahan
pohon-pohon yang kaku tanpa daun tetap menyapa mereka yang menyusuri liku jalan
pada bebatuan yang tersusun rapi, serapi rindu yang tetap kusimpan
pada ceruk hatiku yang bernanah.

Lihatlah kupu-kupu biru yang berterbangan di antara daun yang jatuh satu persatu bersama angin
syahdu mewarnai sisi langit yang kelabu
mendung bukan penghalang bahawa kesempatan tertutup
bukan musim yang menentukan hidupmu, maka tersenyumlah pada matahari yang malu
akan sapa lembut embun sebening kristal yang menyaput genit di pucuk-pucuk rerumputan
kilaunya menyimpan kesejukan yang boleh kamu bawa tidur bila hatimu resah.

Maka piculah peluru di genggamanmu
pada sebuah hati yang terlupa di sebuah daerah
sebelum musim panas menghanguskannya.
Aku memang mengharapkan kau menghunus jantungku
namum kamu tidak sudi, maka aku menghunus nadiku dengan sisi tajam kerinduan
menyayat nafas dengan noda pencemaran asap kenderaan tua yang rosak
sepertinya kehidupan yang semakin usang.

Dan jasadku dimakamkan dengan nisan tanpa nama
siapa yang sudi mengenali aku? Si penadah kesedihan
maka aku cuma dapat mengumpulkan ribuan daun
yang asyik menari bersama angin dalam bentuk jari-jari yang rapuh
agar kelak aku dapat menceritakan bahawa diri ini cuma insan kerdil
terpelehok di sebuah daerah pada penjuru dunia.
...Bintang Kartika...

No comments:

Post a Comment