September 23rd, 2011 | Author: Fathullah Al-Haq
Baru-baru ini saya telah menerima banyak berita gembira daripada
beberapa orang sahabat yang baharu sahaja menimang cahaya mata. Syukur
dan segala puji bagi Allah swt dengan pemberian rezeki yang
sangat-sangat diharapkan oleh setiap pasangan yang sudah mendirikan
rumah tangga.
Namun pun begitu, tanda kita bersyukur kepada Allah swt dengan
kurniaan zuriat ini, kita perlulah melakukan beberapa perkara sebagai
tanda terima kasih kita kepada Allah swt sebaik sahaja bayi dilahirkan.
Ini adalah salah satu kesempurnaan Islam yang tergambar dengan jelas
dari peringkat awal kelahiran insan. Selain itu juga, kelahiran bayi
sebagai penghubung jambatan kasih suami isteri adalah suatu rahmat Allah
swt yang tidak ternilai harganya.
Oleh itu, saya akan pecahkan beberapa perkara yang Islam telah syariatkan dalam tajuk- tajuk utama di bawah.
Memberi khabar gembira dan tahniah atas kelahiran bayi
Kelahiran bayi merupakan satu khabar gembira bagi setiap insan.
Justeru, kaum muslimin yang mendengar khabar gembira ini perlu bersegera
meraikan kegembiraan tersebut. Hal ini juga berlaku semasa kelahiran
baginda saw,
Semasa baginda saw dilahirkan, Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepada Abu Lahab yang ketika itu menjadi majikannya dengan mengatakan “ Telah lahir seorang anak lelaki daripada Abdullah” Maka Abu Lahab dengan serta – merta memerdekakannya kerana terlalu gembira.
Ucapan tahniah terhadap pasangan yang menerima cahaya mata merupakan
salah satu cara meraikan kegembiraan tersebut. Tujuan menyampaikan
khabar gembira ini adalah untuk menanamkan perasaan kasih sayang dan
membina kesatuan umat Islam di samping puji-pujian yang besar kepada
Allah swt.
Azan dan Iqamah
Islam telah mensyariatkan supaya azan dilaungkan di telinga kanan dan
Iqomah di telinga kiri bayi, hal ini bertepatan dengan hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Rafi’
“ Saya telah melihat Rasulullah saw membacakan azan pada telinga kanan Hasan Bin Ali yang baru dilahirkan oleh Fatimah” Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi, disahihkan oleh mereka berdua.
Selain itu, menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah menyatakan bahawa
antara rahsia azan dan iqomah di awal kelahiran bayi adalah seperti
berikut:
1. Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang disifatkan sebagai
ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru
lahir.
2. Satu penyataan Syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.
Tahnik
Syariat mentahnikkan bayi adalah satu bukti yang sangat jelas bahawa
Islam sangat menitik beratkan jenis pemakanan yang perlu diberikan
kepada bayi yang baharu sahaja dilahirkan, hal ini sangat penting kerana
tumbesaran bayi mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan cara dan
jenis pemakanannya. Seperti firman Allah swt yang bermaksud,
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-baqaroh ayat 168)
Di sini kita perlu sedar bahawa syaitan sangat gemar apabila manusia
dihidangkan dengan makanan-makanan yang ada unsur najis dan haram, maka
Ibu bapalah perlu memainkan peranan dalam hal ini iaitu menjaga hal
pemakanan anak-anak sebaik mungkin, selain daripada sumber rezeki yang
halal. Kerana jika kita sedar, pemakanan juga mempunyai kesan dan
pengaruh yang amat kuat dalam membentuk akhlak anak-anak.
Tahnik merupakan sunnah yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah saw
apabila para sahabatnya melahirkan anak. Cara melaksanakannya iaitu
dengan membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar
yang telah dikunyah oleh orang yang alim dan bertakwa.
Cara praktikalnya
Diletakkan isi buah tamar yang telah dikunyah itu di atas jari
telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi, arahkan telunjuk jari tadi
ke kiri dan ke kanan mulutnya. Perbuatan ini dilakukan sehingga kurma
tadi menyentuh keseluruhan mulut sehingga ke rongga tekak bayi.
Perbuatan ini telah dibuktikan oleh seorang sahabat yang bernama Abu Musa r.a. katanya: “Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada nabi saw, baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Antara hikmah amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan saraf mulut
bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menyusu dengan sempurnanya.
Seandainya kurma sukar didapati, bolehlah digantikan dengan manisan lain
seperti gula dan madu lebah.
Penutup
Ajaran Islam adalah ajaran yang sangat bersesuaian dengan fitrah dan
jiwa manusia, menyediakan peraturan-peraturan mudah yang merangkumi
seluruh aspek kehidupan manusia daripada sebelum lahir sehinggalah ke
liang lahad. Ini adalah satu bukti bahawa Allah swt sangat kasih kepada
hambanya, dia bukan sahaja menciptakan, menyediakan akal dan memberi
rezeki, malah memberi pula peraturan-peraturan yang mempunyai banyak
hikmah yang tersembunyi, selain ia boleh menyelamatkan manusia daripada
terjebak ke lembah kebinasaan.
Insyaallah, kita akan bersambung kepada sesi kedua pada penulisan yang akan datang dalam tajuk yang sama.
No comments:
Post a Comment