Friday, 23 September 2011

Hitunglah Diri Kita Sebelum Dihitung Oleh Allah

Jom kita bertanya dan bersoal jawab, sebelum kita ditanya dan disoal siasat oleh Allah swt kelak.
Ok, jom-jom.
Berapa banyak daripada kalangan kita yang melakukan maksiat saban waktu? Adakah kita ambil berat pada sahabat-sahabat kita yang melakukan maksiat?
Pernah kah kita mengajaknya melakukan kebaikan seperti apa yang kita lakukan sepanjang pagi dan petang? Mungkin barangkali kerana kita tidak takut apabila disoal di hadapan Allah swt kelak kan?
Pejamkan mata anda perlahan-lahan, bayangkan jika soalan ini yang akan ditanya di hadapan Allah Azza wajal.

“Wahai si fulan bin si fulan, kenapa kamu tidak tegur sahabat kamu tidur pakai seluar pendek” Kata Allah swt di padang mahsyar kelak.
“Err, tiada sebab” Jawab hamba yang malang tadi.
“Wahai si fulan binti si fulan, adakah kamu tegur/nasihat sahabat kamu supaya menutup aurat” Kata Allah swt.
“Err, tidak” Jawab hamba yang malang tadi.
“Wahai si fulan binti si fulan, adakah kamu menasihati sahabat kamu agar melabuhkan pakaian, jangan pakai yang ketat-ketat, labuhkan tudung” Tanya Allah swt lagi.
“Err, tidak” Jawab hamba yang malang tadi.

Masing-masing menarik kita ke lembah kebinasaan(neraka). Ya, mereka akan menarik kita. “Yang dahulunya kata kawan rapat dan baik, tapi kenapa tarik kawan dalam neraka”. Jadi, apa cerita.
(Di sini juga saya ingin tegaskan, carilah kawan-kawan yang baik akhlaknya, supaya dia boleh membimbing dan menasihati kita selalu. Sedih kadang-kadang melihat seorang remaja yang asalnya baik, tetapi terpengaruh dengan kawan-kawan yang jahat. Seperti mana yang kita tahu bahawa kawan adalah salah satu sumber pengaruh yang sangat kuat dalam kehidupan seseorang).

Oleh itu, sangat-sangat malang bagi insan yang beramal sepanjang pagi dan petang, tetapi tidak pula dia berdakwah pada sahabat-sahabatnya. Firman Allah swt yang bermaksud:
‎”Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)” (fussilat ayat 33)
Nabi saw telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli(penduduk) langit dan bumi, hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia” (Riwayat al-Tirmizi).

Tiba-tiba kedengaran pula suara-suara yang bertanya.

“Ustaz, susahlah nak berdakwah, macam mana caranya ye?” Soal seorang hamba Allah.
“Adik ada facebook kan?” Saya menduga, pelik kalau hari ini seseorang itu tiada facebook, hatta budak tadika sekali pun.
“Ya, ada” Jawabnya ringkas.
“Apa yang selalu adik tulis kat dalam tu?” Saya bertanya pula.
“Err, macam-macam.  Hari ni buat apa, makan apa, pergi mana, sembang dengan kawan-kawan, dan bla-bla” Terangnya penuh minat.
“Hmm, kan lebih baik jika adik berkongsi kata-kata nasihat dan hikmah, terjemahan al-quran atau hadis, sampaikan ilmu yang adik pelajari dalam kelas pun ok, tanya khabar kawan, dah solat ke belum. Itu pun sudah memadai bagi adik dalam berdakwah, di samping dapat pahala, adik juga dapat menambah ilmu kebaikan, jika adik ada blog, itu lagi bagus, macam-macam nasihat adik boleh kongsi” Saya cuba berkongsi.

Banyak sebenarnya ruang dakwah yang kita boleh manfaatkan, hanya terpulang ke atas diri masing-masing sahaja sama ada hendak atau tidak. Hairan dengan segelintir orang, banyak menghabiskan masa dengan berbual kosong yang mengarut, dan terfikir juga, adakah mereka tidak bosan berbual-bual tanpa mendatangkan manfaat pada diri? Adakah mereka fikir bahawa masa akan menunggu mereka? Alangkah baiknya jika masa itu diisi dengan perkara kebaikan seperti berkongsi ilmu dan pengalaman atau perkara-perkara faedah yang lain.
Firman Allah swt: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-asr ayat 1-3)
Jom kita sama-sama bermuhasabah.

Selepas kita menyampaikan dakwah.

Kita tanya pula pada diri kita. Ya, Tanya lagi. Adakah kita sudah menunjukkan akhlak dan contoh teladan yang baik pada keluarga dan kawan-kawan kita?
Tidak kira lah sama ada dari segi perbualan pertuturannya kah. Dari segi pemakaiannya kah. Dari segi akhlaknya kah. Atau pun lain-lain yang seumpama dengannya.
Kadang-kadang tu terdengar juga suara-suara orang yang alim-alim kucing, dakwahnya sangat kencang yang bisa menggegarkan dunia, tapi terhad hanya satu-satu masa sahaja.

Contoh-contoh yang pernah saya lihat.

“Alah, releks lah, aku pakai tudung labuh dan buat aktiviti dakwah kat kampus/sekolah aje, cuti ni nak enjoy lah sekejap, pakai ketat sikit je, tudung ni lawa ape, tutup juga kan. Bestnya duduk lepak kat shopping complex ni dengan  kawan-kawan” Ngomel seorang ustazah konon-kononnya.
“Peh, handsomenya aku tengok mamat sorang tuh, eh, yang tu lagi handsomelah. Cemburunya aku kat lelaki tu. Tiba-tiba dalam status lain ‘Sabda hadis nabi yang bermaksud kaza wa kaza’. Eh, semalam aku ada ikut usrah di tempat sekian dan sekian, bestlah naqibah usrah tuh” Status ntah tak tahu sapa perempuan yang berniqob pula di dalam facebook.
Argh, rasa nak menjerit  geram pun ada. Gambar berniqob bagai. Tapi dalam sesetengah selitan status-statusnya langsung tidak menampakkan seorang yang berperibadi perempuan berniqob.
Fikir, Bagaimana mentaliti orang di sekeliling apabila melihat kita yang secara pakaiannya nampak seperti pendakwah, tapi aib yang ditonjolkan bersama.
So, kita tanya diri kita balik. Adakah kita sudah menunjukkan akhlak dan contoh teladan yang baik pada kawan-kawan kita. Sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, dia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya.” (Riwayat Muslim).
Oleh itu, sangat-sangat perlu bagi seorang Muslim yang baik apabila dia bercakap mengenai dakwah yang sering dicanangkan di sana-sini, seiring dengan peribadi Muslim yang patut ditonjolkan. Alangkah bahagianya dia. Semua orang akan suka pada dia, tambah-tambah lagi Allah swt. Sejuk mata orang yang memandang.

Tanya lagi! Berapa banyak pula daripada kalangan orang yang membuat maksiat itu menginsafi diri dan bertaubat?
Dan kita fikir pula bagaimana keadaan kita? Ya. Keadaan kita pada hari saat ini. Tanya! Berapa kali kita  ungkapkan kalimah istighfar sepanjang hari? Bagaimana dengan Iman kita? Bagaimana perbuatan kita seharian, adakah ia mendatangkan murka atau pun rahmat Allah swt? Apakah bakti yang kita telah lakukan untuk orang tua kita. Adakah itu semua sudah cukup untuk berhadapan dengan Allah swt secara tiba-tiba.
Firman Allah swt:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan”. (Al-A’raf ayat 34)
Ada juga suara-suara sumbang yang kedengaran, agaknya dia fikir bahawa hidupnya mungkin ada 50 tahun lagi kot.
“Alah, lambat lagi. Belum tua lagi kan, buat apa lah nak sibuk-sibuk ikut budak surau tuh, poyo je”.

Alangkah seronoknya bila kita meniti hari dengan berbuat ibadat kepada Allah swt.

“Ala Ustaz, takkan asyik nak duduk kat tikar sembahyang je, asyik nak pegang tasbih 24 jam, boringlah” Tanya seorang lagi.

Pening juga nak menjawabnya. Hmm.
“Adik mesti pernah dengar kan firman Allah swt yang bermaksud, Aku yakni Allah tidak menciptakan manusia dan jin melainkan hanya untuk beribadat kepada Aku, dalam konteks beribadat kepada Allah swt, kita tidak boleh sempitkan pemikiran kita hanya pada satu-satu perkara sahaja, malah banyak lagi perbuatan lain yang dianggap sebagai ibadah, contohnya seperti bersukan, tolong ibu bapa/kawan, tanya khabar kawan, tidur, belajar, jauhkan diri daripada benda yang sia-sia dan haram serta banyak lagi. Mudah kata, semua yang baik itu insya-Allah Allah swt akan terimanya sebagai ibadah, bukan kah Allah swt sentiasa menyediakan jalan kejayaan dan kebahagiaan kepada makhluknya” Saya pula berleter.

Lagi soalan bertandang.

“Ustaz, saya dah banyak kali buat dosa, banyak lah, dosa besar ada, apatah lagi dosa kecil, lagilah tak terkira, saya rasa malu nak beribadah, nak bertaubat pada Allah swt, yang kawan-kawan asyik nak ajak buat maksiat itu dan ini, dengan keadaan di sekeliling saya yang menjurus ke arah itu, saya malu pada Allah swt, saya malu pada diri sendiri” Luahan seseorang yang saya fikir masih ada iman di hatinya.

Sedih pula mengenangkan masalah sahabat tadi. Mungkin Allah swt beri kemampuan pada dia untuk menghadapi keadaan seperti itu, kalau lah saya berada di tempatnya, mungkin saya tidak mampu untuk menghadapinya. Firman Allah swt yang bermaksud:
Allah swt tidak membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk memikulnya. (Al-Baqoroh ayat 286).
Saya hanya mampu memberi nasihat kepadanya. Moga-moga diberi kekuatan oleh Allah swt.

“Saudara yang dikasihi oleh Allah swt, saya yakin dan percaya bahawa masih ada lagi iman di dalam diri sedara, Allah swt masih lagi menyayangi sedara dengan memberi kesedaran kepada sedara dengan merasai kesalahan maksiat dan dosa yang telah dilakukan, kerana masih banyak lagi manusia di luar sana yang tidak dapat petunjuk daripada Allah swt. Ya, terlalu banyak. Masih banyak lagi manusia di luar sana yang berasa senang dengan dosa dan maksiat, masih banyak lagi manusia di luar sana yang disesatkan oleh Allah swt. Semoga kita sama-sama sentiasa diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah swt.

Saudara yang dikasihi oleh Allah swt.

Dalam kita menjalani kehidupan sebagai manusia yang beriman dan percaya kepada hari kebangkitan selepas mati, maka kita perlu sedar bahawa hakikat kehidupan ini ibarat roda, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah. Begitu jugalah dengan iman kita, kadang-kadang surut, kadang-kadang naik, sama seperti saya sebagai hamba Allah yang banyak melakukan kesalahan dan dosa, walau pun daripada dulu saya masuk sekolah tahfiz dan masuk pula sekolah menengah agama, kemudian masuk pula Universiti yang beraliran agama, saya juga di uji dengan ujian-ujian yang Allah swt beri pada saya. Namun pun begitu, kita jangan berputus asa dengan rahmat Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Yusof ayat 87)
Memang kita tidak boleh berputus asa dalam mengejar rahmat Allah swt, biarpun kita membuat segunung kesalahan, percayalah bahawa Allah swt itu sangat maha pengampun. Dalam hadis Qudsi juga Allah swt telah sebut bahawa apabila hamba ku pergi kepada ku dalam keadaan berjalan, maka aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.
Hadis Qudsi yang bermaksud: Allah swt telah berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hambaKu kepadaKu, Aku bersamanya (dengan ilmu dan rahmat) bila dia ingat Aku. Jika dia mengingatKu dalam dirinya, Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu dalam suatu perkumpulan, Aku menyebutnya dalam perkumpulan yang lebih baik dari mereka. Bila dia mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepadaKu dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berlari”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, kita perlu sentiasa berdoa dan beristighfar kepada Allah swt dengan penuh tawadhu’ dan rendah diri hanya kepadanya. Kalau hendak dibayangkan selama kita hidup ini, tidak digambarkan oleh akal kita betapa sayangnya Allah swt kepada makhluknya, cuba kita fikir sejenak berapa banyak dosa yang kita telah lakukan semenjak kita baligh sampailah sekarang, berapa banyak kesalahan yang kita lakukan dengan menderhaka kepada Allah swt.
Namun pun begitu, dia masih lagi menyayangi kita, memberi kita nikmat kehidupan, kesihatan, makan, dan minum serta bermacam-macam  lagi. Cuba bayangkan, jika kita derhaka sekali pada Allah, Allah swt terus hilangkan satu jari di tangan kita, agak-agak macam manalah keadaan kita. Walau apa sekali pun, kita perlu berdoa dan minta pada Allah swt agar diampunkan segala dosa-dosa di samping berharap agar selalu diberi kekuatan agar istiqamah mengawal nafsu.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti” (Ali-Imran ayat 193).
Allah swt suruh kita berdoa lagi, firmannya yang bermaksud:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali-Imran ayat 135)
Banyak lagi hadis-hadis yang lain bahawa Allah swt itu sangat-sangat maha pengampun, di antaranya:

Daripada Anas r.a berkata: saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Allah swt telah berfirman: “Wahai anak Adam, sekiranya engkau berdoa dan memohon kepadaKu, nescaya Aku ampuni dosa yang engkau ada.
Wahai anak Adam, sekiranya dosa engkau sampai memenuhi ufuk langit kemudian memohon ampun padaKu, nescaya tetap Aku ampuni dosa engkau.
Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan yang hampir sebesar bumi kemudian engkau tidak pernah menyekutukanKu dengan sesuatu, nescaya Aku tetap memberi keampunan kepada engkau”. (Riwayat Tirmizi dan dinilai hasan olehnya)
“Bertakwalah kepada Allah di mana saja engkau berada, susulilah sesuatu kejahatan dengan perkara kebaikan kerana ia akan menghapuskan dosa dan bergaullah dengan akhlak yang mulia”. Riwayat Tirmizi dan dinilai Hasan olehnya)
Bermaksud: Jikalau engkau melakukan sesuatu kejahatan atau keburukan, maka susulilah dengan melakukan sesuatu kebaikan atau amal soleh, kerana ianya akan menghapuskan dosa kejahatan itu.
“Tiada sesuatu musibah yang berlaku ke atas seorang muslim seperti kecelakaan, penderitaan, kedukaan, kesempitan, kesakitan dan kesedihan melainkan Allah akan menghapuskan segala kesalahan-kesalahannya”. (Muttafaq alaih)
Bermaksud: Jika kita menjalani kehidupan, tiba-tiba datang musibah-musibah yang kita tidak tahu daripada mana datangnya, maka Allah swt terbitkan dalam hati kita rasa kesedihan dan kekecewaan, itu lah tanda Allah swt ingin ampunkan dosa-dosa kita.
Serta banyak lagi dalil-dalil lain yang sahih mengenai keampunan Allah swt kepada orang-orang yang berbuat maksiat dan berdosa.
Firman Allah swt: Sesungguhnya Allah swt sangat suka pada orang-orang yang bertaubat dan mensucikan dirinya. (Al-Baqoroh ayat 222)
Masih belum terlambat lagi untuk sedara kembali ke pangkal jalan dan tebus balik kesalahan dengan berbuat baik. Insyaallah, semoga keampunan dan rahmat Allah swt itu sentiasa berada di sisi sedara.
Nasihat saya, carilah kawan-kawan yang baik yang sentiasa boleh membimbing kita ke arah kebaikan, kerana apabila kita sentiasa melakukan kebaikan, kehidupan kita akan jadi tenang dan tenteram. Berapa banyak kejayaan yang kita boleh dapat hasil daripada ketenangan itu. Kita lihat pula hal keadaan apabila seseorang itu Allah swt tarik ketenangan pada dirinya, dia akan susah untuk mendapatkan kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya”.

Kesimpulan
Masih banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu  kita selesaikan dalam hidup ini sebenarnya. Apabila kita selalu bertanya pada diri kita, insya-Allah kita sentiasa berkehendak untuk mencari jawapannya. Lantas, kita tidak lagi leka dengan kehidupan yang sangat menipu daya ini. Kita boleh faham tentang hakikat sebuah kehidupan dengan lebih mendalam di samping berfikir tentang kebesaran Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (al-ankabut ayat 64)
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali-Imran ayat 185)
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan” (Anbiya’ ayat 35).
p/s: Sekadar ingin meluahkan rasa di hati berdasarkan pengalaman yang lepas. Semoga beroleh manfaat.

No comments:

Post a Comment