Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang
mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat)
seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah
dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan
rugilah ia.” Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: “Periksalah,
adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk
dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ” Riwayat at-Tirmidzi
Huraian
i) Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat
sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu
sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping
mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan
lain-lain setakat yang termampu olehnya.
ii) Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat
mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang
yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat
ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan
menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran
itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa
dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): “Berusahalah
untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah
untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
No comments:
Post a Comment