RINDUKU SI PUTERI GUNUNG LEDANG
aku setuju dengan syaratmu
akan kusediakan
tujuh kuntum mawar berlainan warna
tujuh kuntum kenanga berlainan haruman
tujuh helai daun sirih bertemu urat
aku juga akur kemahuanmu untuk
menyediakan tujuh kendi air embun
menyiapkan tujuh buyung air mawar
membawakan tujuh air kuala sungai tujuh kuala
akan kukumpulkan menjadi satu kolam mandianmu
lalu akan kumandikanmu
selama tujuh pagi tujuh senja
supaya kasihmu hanya untukku
aku bukan menjampiserapahmu
supaya kau jatuh hati kepadaku
bukan seperti Tuah menipu sultannya
memperdayakan Teja
wahai Puteri Gunung Ledangku
percayalah bahawa kasihsayangku
hanya untukmu sejauh
tujuh petala langit
tujuh petala bumi
tujuh hari tujuh malam sepanjang waktu.
Nor Adabi Rosdi,
@M.A.Y.A.
Mahligaiimpian.com
Akademi Sajak Cyber.
No comments:
Post a Comment