BismillahhirRahmaanirRahiim.
Assalamu'laikum warahmatullahi Wabarokatuh.
DALAM
bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari
yang paling afhdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada
9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah
bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu
bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.
Pada hari
itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah
dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari
keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat
Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah
SWT.
Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada
jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat
dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu,
umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan
Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa
adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah,
"Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa
bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya". (Hadis Muslim).
Selain
berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti
solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada
makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan
yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran
pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi
Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih
ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang
Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan
peperangan.
Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa
Rasulullah bersabda, "Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya
mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.
Sahabat bertanya, "Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?".
Jawab Baginda, "Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan
orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang
apa-apa pun". (Hadis Bukhari)
Dalam hadis lain,
Rasulullah juga bersabda, " Tiada suatu hari pun dalam setahun yang
amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari
pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir,
tahlil, takbir dan tahmid". (Hadis Ahmad). Pada hari Arafah, setiap
jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji
iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan
besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya
melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan
jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi
setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar
kelak.
Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan
juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa
tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.
Dari
sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah
itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti
Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka
bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah.
Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa
pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya,
Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.
Sebahagian ulama
pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi
Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam
mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah,
hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud
hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas
kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa)
maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.
Selanjutnya,
perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu
jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar
mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan
Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan
tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah
dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.
Tambahan
pula, jalinan yang terbina atas paksi ketaqwaan ini dengan pakaian ihram
yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat
Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit,
taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.
Semuanya
ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada
hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada
hakikatnya berasal daripada tanah.
Begitulah antara
kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya
direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim
yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan
Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih
keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling
bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa
bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian...
Wassalam...

No comments:
Post a Comment